KUALA LUMPUR: Kumpulan Inteam sedang mempertimbangkan untuk mengadakan malam kedua Konsert Kasih Kekasih Inteam 25 tahun yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 27 September depan.
Memetik laporan Harian Metro, anggota kumpulan Inteam, Muhammad Hazamin Harun berkata, pihaknya masih dalam peringkat perbincangan dengan pihak berkaitan untuk mengadakan malam kedua konsert berkenaan.
“Pihak kami memahami permintaan peminat yang ramai meluahkan perasaan kecewa kerana tidak dapat tiket pada malam pertama di media sosial.
“Perkara itu masih belum dapat kepastian kerana masih dalam perbincangan peringkat akhir untuk konsert malam kedua membabitkan pihak venue (lokasi), barisan pemuzik, kru dan sebagainya.
“Insya-Allah, jika sudah dapat kepastian, pihak kami akan umumkan secara rasmi pada sidang akhbar konsert Selasa nanti,” katanya kepada Harian Metro.
Selain Hazamin, kumpulan Inteam menampilkan tiga lagi anggota iaitu Mohd Syahril Abdul Khalid, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman.
Mengulas konsert malam kedua lagi, kata Hazamin, pihaknya menjangkakan tiket konsert untuk malam kedua juga akan dapat sambutan dari peminat nanti.
Kali terakhir, kumpulan nasyid yang popular dengan lagu Kasih Kekasih dan Nur Kasih ini ialah konsert Inteam 20 tahun ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara dalam talian.
Kumpulan Inteam juga pernah menjadi penganjur Konsert Nasyid Legenda pada 2022 yang membabitkan ramai artis nasyid antaranya Hijjaz, Rabbani, Nazrey Johani, Akhil Hayy dan Shahir AF.
Terdahulu, tiket Konsert Inteam sempena penubuhan kumpulan nasyid terkenal itu mendapat sambutan hangat apabila ‘sold out’ (habis terjual) dalam tempoh dua jam hingga ramai peminat yang meluahkan perasaan kecewa di media sosial.
Bagaimanapun, kumpulan Inteam memberi bayangan akan mengadakan konsert hari kedua menerusi perkongsian terbaru di laman Instagram mereka.
Sementara itu, menerusi tinjauan di media sosial, ramai peminat Inteam berkongsi perasaan teruja untuk memeriahkan konsert termasuk pelbagai ragam peminat yang mula berlatih untuk ke konsert berkenaan.
Malah ada pengikut yang berkongsi latihan cara menggunakan ‘sugistick’, iaitu kayu sugi bagi menggantikan ‘stick’ lampu yang biasa digunakan pada konsert. – HMetro Online –
IMedikel TV






