Home Luar Negara 12 BAWA JEMAAH TANPA PERMIT HAJI SAH DITAHAN PIHAK BERKUASA ARAB SAUDI

12 BAWA JEMAAH TANPA PERMIT HAJI SAH DITAHAN PIHAK BERKUASA ARAB SAUDI

163
0

MAKKAH: Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi menahan 12 suspek termasuk tujuh penduduk dan lima warga tempatan di pusat pemeriksaan di Makkah kerana membawa masuk 33 jemaah haji tanpa permit sah, lapor Saudi Gazette.

Menurut kementerian itu, jawatankuasa pentadbiran bermusim sudah mengenakan hukuman terhadap pembawa, rakan subahat dan mereka yang dibawa masuk secara tidak sah, kerana melanggar peraturan haji.

Memetik laporan Agensi menerusi Berita Haruan, hukuman termasuk penjara, denda sehingga SR100,000 (RM112,000), penyiaran nama pesalah secara terbuka, pengusiran penduduk asing dan larangan masuk semula ke Arab Saudi selama 10 tahun, selepas tamat tempoh hukuman.

Pihak berkuasa juga memohon kenderaan yang digunakan untuk membawa jemaah secara tidak sah dirampas oleh pihak kehakiman.

Amaran turut dikeluarkan bahawa sesiapa yang cuba menunaikan haji tanpa permit boleh dikenakan denda sehingga SR20,000 (RM22,554).

Kementerian itu turut menggesa semua warga negara dan penduduk supaya mematuhi peraturan haji bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman jemaah sepanjang musim haji.

Dalam kes berasingan, pasukan rondaan keselamatan di Makkah menahan empat warga Indonesia kerana mempromosikan kempen haji palsu melalui media sosial.

Suspek menawarkan perkhidmatan penginapan dan pengangkutan palsu serta didapati memiliki kad Haji Nusuk yang dipalsukan.

Mereka juga menyembunyikan 14 individu tanpa permit haji di sebuah bangunan yang merupakan pelanggaran peraturan ibadah haji di Arab Saudi.

Kesemua suspek berkenaan sudah dirujuk kepada Pendakwa Raya untuk tindakan undang-undang, manakala individu tanpa permit diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk dikenakan hukuman sewajarnya.

Dalam pada itu, Direktorat Keselamatan Awam menggesa orang ramai melaporkan sebarang pelanggaran haji dengan menghubungi 911 di wilayah Makkah, Madinah, Riyadh dan Wilayah Timur, atau 999 di wilayah lain di Arab Saudi.

Kementerian berkenaan menegaskan bahawa pemegang visa lawatan termasuk visa pelancongan, keluarga atau perniagaan, tidak dibenarkan menunaikan haji.

Mereka yang melanggar peraturan itu akan dikenakan denda sehingga SR20,000 (RM22,554), dihantar pulang dan dilarang memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.

Hukuman itu turut terpakai kepada sesiapa sahaja yang didapati memasuki, cuba memasuki atau berada di Makkah dan kawasan Tanah Suci dari 1 Zulkaedah hingga 14 Zulhijah tanpa permit haji.

Kementerian berkenaan menekankan kepentingan mematuhi peraturan haji negara itu bagi memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan selamat, teratur dan mudah. – AGENSI, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here