Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TANAH MERAH: Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK) menyeru agar agensi kerajaan, kementerian dan wakil rakyat menyalurkan peruntukan kewangan bagi membantu usaha memelihara serta mempertahankan warisan dan budaya masyarakat Peranakan Cina di negeri ini.
Pengerusinya, Lim Kham Hong, berkata kekangan dana menyebabkan beberapa program kebudayaan termasuk festival tahunan terpaksa dihentikan sejak dua tahun lalu.
“Kalau ada peruntukan, kita boleh anjur setiap tahun seperti dulu. Dua tahun lalu kita berhenti sebab tiada dana, sekarang pun hanya mampu buat program kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Perasmian Busana Kebaya, di Galeri PPCK, di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim, yang turut hadir menyatakan sokongan terhadap usaha PPCK mengekalkan tradisi masyarakat Peranakan Cina.
Menurut Lim, bantuan kewangan amat penting bagi memastikan aktiviti kebudayaan seperti pameran makanan tradisional dan adat perkahwinan Peranakan Cina dapat diteruskan sebagai warisan untuk generasi muda.
Beliau berkata, antara tarikan pada program kali ini ialah pengenalan semula busana kebaya, pakaian tradisional yang menjadi sebahagian identiti masyarakat Peranakan Cina sejak ratusan tahun lalu.
“Kalau kita tidak tonjolkan, generasi muda tidak akan tahu apa itu kebaya. Mereka hanya kenal pakaian moden sahaja. Kebaya juga sebenarnya lambang perpaduan kerana turut digayakan oleh masyarakat Melayu dan Siam,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Kelantan, Nor Aliza Baharuddin, berkata penganjuran program itu berjaya mengangkat semula busana kebaya Nyonya sebagai simbol tradisi masyarakat Peranakan.

“Untuk semua persatuan seni, kementerian menyediakan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) sebagai salah satu inisiatif di bawah Bajet 2025 bagi menggalakkan penganjuran aktiviti kebudayaan.
“Melalui geran ini, kita menyalurkan bantuan kewangan kepada persatuan untuk menganjurkan program kebudayaan seperti ini,” katanya.
IMedikel TV






