Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
TANAH MERAH: Program Busana Kebaya anjuran Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PPCK) disifatkan sebagai platform terbaik untuk memupuk semangat kekeluargaan serta memperkukuh integrasi kaum melalui penghayatan budaya dan warisan masyarakat Peranakan Cina.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim, berkata program berkenaan bukan sekadar memperagakan keindahan busana kebaya Nyonya, tetapi turut memperkenalkan tradisi masyarakat Peranakan Cina Kelantan kepada generasi muda.

“Program ini menampilkan keindahan busana tradisi masyarakat Peranakan Cina dan Kelantan. Sambutannya sangat meriah dengan pelbagai persembahan kebudayaan menarik.
“Saya melihat program ini berperanan sebagai aktiviti kekeluargaan kerana ramai ibu bapa membawa anak-anak bukan hanya untuk menyaksikan persembahan, tetapi turut menghayati keunikan kebaya Nyonya yang menjadi identiti kaum Peranakan Cina Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Busana Kebaya PPCK di Galeri PPCK, di sini, hari ini.
Menurut beliau, penganjuran program seperti itu mampu mengeratkan hubungan antara kaum serta memperkukuh semangat perpaduan dalam membina masyarakat Malaysia MADANI.
“Saya berpendapat program seperti ini adalah satu bentuk integrasi kaum yang amat baik. Ia bukan sahaja memelihara budaya, malah mempertemukan pelbagai lapisan masyarakat untuk saling mengenali dan menghargai warisan masing-masing,” katanya.
Dr. Hafidzah turut melahirkan rasa gembira melihat penyertaan aktif kanak-kanak dalam program berkenaan yang memperagakan kebaya tradisional, sekali gus memperlihatkan kesinambungan warisan masyarakat Peranakan Cina dalam kalangan generasi muda.
IMedikel TV






