NEW YORK: Sebuah pesawat United Airlines melanggar tiang lampu dan sebuah trak penghantaran di lebuh raya New Jersey ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty pada Ahad, menurut pihak berkuasa kepada AFP.
Memetik laporan AFP menerusi Harian Metro, pegawai Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata pesawat Boeing 767 itu mendarat dengan selamat selepas tiba dari Venice, Itali, dan agensi itu akan menyiasat insiden berkenaan.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam pesawat, manakala pemandu trak dihantar ke hospital dengan kecederaan ringan dan sudah dibenarkan pulang, menurut kenyataan Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey.
Pesawat berkenaan membawa 221 penumpang dan 10 kru penerbangan.
“Ketika cuba mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, penerbangan United Airlines 169 melanggar tiang lampu di Lebuhraya New Jersey sekitar jam 2 petang waktu tempatan pada Ahad, 3 Mei,” kata FAA dalam kenyataan, sambil menambah pesawat mengalami kerosakan kecil.
Pihak Berkuasa Pelabuhan dalam kenyataan berkata, pesawat itu menyebabkan ‘kerosakan pada tiang lampu dan sebuah trak yang sedang bergerak ke arah selatan di NJ Turnpike’.
Naib Presiden Kanan H&S Bakery, Chuck Paterakis berkata, trak miliknya tidak mengalami kerosakan teruk, tetapi roda pesawat komersial merempuh tingkap bahagian pemandu.
Katanya, pemandu trak mengalami luka kecil akibat kejadian itu.
United Airlines berkata, mereka akan ‘menjalankan siasatan keselamatan menyeluruh terhadap insiden ini dan kru penerbangan sudah digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
Polis Negeri New Jersey yang bertindak balas terhadap insiden di lebuh raya itu dan pengeluar pesawat Boeing belum memberi maklum balas terhadap permintaan AFP. -AFP, HMetro Online-
IMedikel TV






