EILAT (Israel): Sekumpulan aktivis yang ditahan oleh Israel selepas tenteranya menyerang konvoi Freedom Flotilla Coalition berlepas dari Lapangan Terbang Ramon Eilat di bandar Eilat dengan penerbangan khas pada Jumaat, lapor Anadolu Ajansi yang memetik sumber diplomatik Turkiye.
Memetik laporan Anadolu menerusi Berita Harian, Kementerian Luar Turkiye, berkata 18 warganya yang ditahan Israel di atas kapal milik Freedom Flotilla Coalition akan pulang ke tanah air pada petang Jumaat dengan penerbangan khas itu.
Turkiye turut merancang membawa keluar kira-kira 80 aktivis dari negara lain melalui penerbangan yang sama, kata jurucakap kementerian Oncu Keceli dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tentera laut Israel menyerang kapal konvoi ‘Thousand Madleens’ anjuran Freedom Flotilla Coalition menuju ke Gaza pada awal pagi Rabu di perairan antarabangsa, kira-kira 120 batu nautika (222 kilometer) dari wilayah itu.
Konvoi terbabit belayar selepas pasukan tentera laut Israel menyerang dan merampas lebih 40 bot minggu lalu yang juga sebahagian daripada misi Global Sumud Flotilla ke Gaza serta menahan lebih 450 aktivis di atas kapal.
Kebanyakan mereka sudah dihantar pulang.
Rejim itu sebelum ini turut menyerang kapal yang menuju ke Gaza, merampas muatan bantuan serta mengusir aktivis yang berada di atas kapal.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan hampir 67,200 penduduk Palestin di enklaf itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menjadikannya tidak lagi sesuai didiami. – BERNAMA-ANADOLU, BH Online –
IMedikel TV






