Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang pesara tentera didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menganiayai anak tiri sehingga mengalami kecederaan, pada Jumaat lalu.
Tertuduh, Nurul Haida Mohd Lazin, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut selepas dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menganiayai kanak-kanak berusia 10 tahun enam bulan itu dengan cara memukul mangsa sehingga menyebabkan kecederaan dibahagian mulut dan telinga.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Pengkalan Chepa kira-kira jam 4 petang pada Jumaat lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam bela, Datuk Sukri Mohamad.
Terdahulu, Mohd Faiz menawarkan jaminan RM15,000 kepada tertuduh memandangkan mangsa adalah seorang kanak-kanak.
Sukri bagaimanapun, memohon jaminan minimum memandangkan anak guamnya adalah pesara pilihan tentera tahun lalu.
“Anak guam saya, menjaga enam orang anak iaitu tiga anak kandung dan tiga anak tiri. Malah sudah empat tahun dia menjaga anak tiri dan kejadian seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM10,000 dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, tertuduh turut didakwa atas pertuduhan mendera seorang lagi mangsa berlainan yang juga merupakan anak perempuan tirinya minggu lalu.
Tertuduh bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Mengikut pertuduhan, Nurul Haida didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa berumur 9 tahun pada tarikh masa dan di lokasi sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 326A kanun sama yang jika disabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 1 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohamad Syamsul Ikhmal Ramli manakala tetuduh diwakili peguam bela, Datuk Sukri Haki Mohamad.
Terdahulu, Mohamad Syamsul menawarkan jaminan RM 8,000 dengan seorang penjamin, bagi memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan hubungan tertuduh dan mangsa adalah anak tiri.
Mahkamah menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
IMedikel TV






