LONDON: Penjaga gol Leeds United, Lucas Perri muncul wira apabila menyelamatkan dua sepakan penalti untuk membantu pasukannya menewaskan West Ham United 4-2 dalam penentuan penalti, sekali gus mara ke separuh akhir Piala FA buat kali pertama sejak 1987.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, perlawanan penuh dramatik itu menyaksikan Leeds terlebih dahulu selesa mendahului 2-0, namun West Ham bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 2-2 sebelum aksi berlarutan ke masa tambahan.
Skuad tuan rumah hampir mencipta kebangkitan sempurna, namun kegagalan menyempurnakan peluang dalam penentuan penalti membuka ruang kepada Leeds mencuri kemenangan.
Penjaga gol muda West Ham, Finlay Herrick yang membuat penampilan sulung, pada awalnya menceriakan penyokong tuan rumah apabila menafikan sepakan pertama Leeds.
Namun, Perri tampil tenang dengan menyelamatkan percubaan Jarrod Bowen dan Pablo sebelum Pascal Struijk memastikan kemenangan Leeds dengan sepakan terakhir.
“Inilah magis Piala FA, apa sahaja boleh berlaku dan hari ini adalah perlawanan yang gila serta sukar dilupakan… hari ini kami meraikan kejayaan ke separuh akhir dan apabila tiba masanya nanti kami akan bersedia untuk aksi menentang Chelsea,” kata Perri.
Leeds terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Ao Tanaka sebelum Dominic Calvert-Lewin menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti.
West Ham kemudian bangkit di penghujung permainan apabila Mateus Fernandes dan Axel Disasi menjaringkan gol dalam masa kecederaan untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Bagaimanapun, Leeds lebih tenang dalam penentuan penalti untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Leeds akan bertemu Chelsea dalam aksi separuh akhir, manakala satu lagi perlawanan menemukan Manchester City dan Southampton.-Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






