DOHA: Penyokong Indonesia berpesta di Doha, Qatar, malam tadi selepas skuad Garuda menewaskan Vietnam 1-0 dalam aksi Kumpulan D saingan Piala Asia 2023 di Stadium Abdullah bin Khalifa.
Memetik laporan menerusi berita harian,Malah, terdapat penyokong mereka yang mula menaruh harapan tinggi untuk menewaskan pasukan nombor satu Asia, Jepun dalam aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Thumama, Rabu ini.
Penyokong Indonesia, Abu Nurish menganggap tidak mustahil Indonesia yang berada di ranking lebih rendah untuk mengalahkan pasukan gergasi seperti Jepun.
Katanya, jika meraih sekurang-kurangnya keputusan seri menentang skuad Samurai Biru, sudah cukup untuk mereka melangkah ke pusingan 16 terakhir sebagai empat pasukan tangga ketiga terbaik kumpulan.
Penyokong Indonesia,yakin skuad Garuda mampu melangkah ke peringkat 16 terakhir Piala Asia. – Foto NSTP
“Indonesia bermain pada tahap terbaik (menentang Vietnam) hingga membuka peluang untuk kita melepasi peringkat kumpulan. Kemenangan ini diharap menjadi bekalan untuk menentang Jepun.
“Hari ini penyokong Indonesia sangat gembira, Insya-Allah seterusnya Indonesia menang menentang Jepun. Dalam dunia bola sepak semuanya boleh berlaku.
“Indonesia ranking bawahan, tetapi kita ada sokongan, keinginan dan doa. Jepun hari ini (semalam) kalah kepada Iraq, harap Indonesia boleh bermain lebih baik daripada Iraq,” katanya.
Jaringan penalti Asnawi Mangkualam pada minit ke-42 sudah cukup untuk Indonesia meraih kemenangan selepas tewas 3-1 kepada Iraq dalam aksi pertama, Isnin lalu.
Skuad kendalian Shin Tae Yong itu menghuni tangga ketiga kumpulan, berkongsi tiga mata bersama Jepun yang berada di kedudukan kedua.
Sementara itu, Iraq yang berjaya mengejutkan skuad Samurai Biru 2-1 berada di kedudukan teratas dengan mengumpul enam mata dan sudah mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir.-BH Online-