Home Buletin Semasa PENYELUDUP TARIK BOT GUNA TALI ELAK DIKESAN PIHAK BERKUASA

PENYELUDUP TARIK BOT GUNA TALI ELAK DIKESAN PIHAK BERKUASA

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Penyeludup menggunakan taktik menarik bot fiber dengan tali tanpa enjin ketika menyeberangi Sungai Golok bagi mengelak dikesan pihak berkuasa semasa menyeludup barangan bersubsidi ke negara jiran.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail berkata, modus operandi itu berlaku susulan arahan penutupan rentasan pangkalan haram pada 1 Disember lalu.

Katanya, taktik itu dilakukan pada waktu malam bagi mengelak dihidu oleh pihak berkuasa.

“Mereka (penyeludup) tidak menghidupkan enjin bot kerana hanya menarik bot yang berisi barangan yang diseludup menyeberangi sungai tanpa bunyi yang boleh dikesan.”

“Namun demikian, pada waktu pagi anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melaksanakan rondaan secara berkala, dan mendapati tali di sungai tersebut.

“Anggota memotong tali-tali yang dipasang itu bagi membanteras kegiatan penyeludupan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melakukan pemeriksaan Ops Kesan di Pasar Raya PKT Pasir Tumbuh, di sini pada Selasa.

Jelasnya, taktik itu dikesan giat digunakan oleh penyeludup apabila paras air Sungai Golok menjadi cetek dengan lebar sekitar 10 meter.

Beliau berkata, walauapun hasil rampasan penyeludupan semakin berkurang, kegiatan menggunakan modus operandi itu masih berterusan.

Dalam perkembangan lain, Azman turut memantau sekiranya berlaku penyelewengan penjualan minyak masak paket bersubsidi oleh peruncit kepada pengusaha kedai makan di negeri ini.

“Setakat ini belum ada aduan rasmi cuma kita dapat maklumat dan desas-desus, kita akan membuat siasatan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here