Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang penyanyi popular Kelantan didakwa terlibat sama dalam tangkapan ke atas enam rakyat Malaysia melibatkan kesalahan memiliki dadah jenis pil kuda.
Berdasarkan hasil tangkapan Polis Sungai Golok, kesemua mereka termasuk tiga wanita dipercayai berusia 25 hingga 32 tahun ditahan jam 6 pagi (waktu Malaysia).
Menurut sumber, pihak polis mendapati sebanyak 6,000 pil kuda dijumpai di dalam sebuah bilik hotel, di Golok bersama mereka.
Difahamkan ketika serbuan, mereka baru sahaja masuk ke bilik rehat selepas berhibur di hotel tersebut sempena cuti Deepavali.
Sumber mengatakan dua daripada mereka masuk ke negara jiran menggunakan pengkalan haram manakala bakinya menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Hasil pemeriksaan, polis mendapati terdapat dua lagi lelaki yang tidak dikenali identiti dipercayai berjaya melepaskan diri.
Kesemua tahanan itu akan dibawa ke Mahkamah Narathiwat untuk direman manakala barang rampasan dibawa ke Balai Polis Sungai Golok untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi mengesahkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis tempatan dari Kelantan ditahan dalam serbuan tersebut.
IMedikel TV






