Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Taktik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang melakukan pembelian secara penyamaran selama tiga minggu berjaya membongkar kegiatan penjualan jersi tiruan sempena musim Piala Dunia dalam satu serbuan di Jalan Cenderawasih Indah, di sini, hari ini.
Dalam operasi itu, sebanyak 7,200 unit jersi pelbagai jenama terkenal bersama pelbagai barangan lain dianggarkan bernilai RM360,000 dirampas, manakala seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang juga pemilik premis ditahan bagi membantu siasatan.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan, berkata serbuan itu bukan dilakukan hasil aduan awam, sebaliknya berdasarkan risikan dan tindakan proaktif susulan peningkatan permintaan terhadap jersi Piala Dunia.
“Kami menjangkakan permintaan terhadap jersi Piala Dunia meningkat, justeru penguat kuasa menjalankan pembelian secara penyamaran menerusi platform e-dagang sebelum mengenal pasti lokasi sebenar operasi.
“Kami turut menggunakan pelbagai kaedah termasuk mengesan alamat Protokol Internet (IP) bagi memastikan lokasi sebenar premis sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan,”katanya kepada pemberita ketika turut serta dalam serbuan itu, hari ini.
Katanya, premis berkenaan sukar dikesan kerana beroperasi secara tertutup sehingga premis berhampiran juga dipercayai tidak mengetahui kegiatan yang dijalankan.
“Serbuan itu dilaksanakan dengan kerjasama Cawangan Khas E5 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang,”katanya.
Mengulas lanjut, Jegan berkata jersi tiruan berkenaan dijual pada harga antara RM35 hingga RM50 sehelai bergantung kepada gred atau kualitinya, sekali gus membolehkan pengusahanya meraih keuntungan lumayan.
“Ketika serbuan dijalankan, banyak bungkusan sudah siap untuk dihantar kepada pelanggan. Kami memohon maaf kepada pembeli yang mungkin tidak akan menerima tempahan mereka.
“Namun tindakan ini perlu diambil bagi membanteras penjualan barangan tiruan kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah merugikan negara dan rakyat,” katanya.
Beliau turut memberi amaran keras kepada individu atau syarikat supaya tidak menjual barangan yang menggunakan cap dagangan tanpa kebenaran pemilik hak yang sah.
Tegasnya, individu yang disabitkan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan yang menggunakan cap dagangan berdaftar secara salah atau dipenjarakan sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barangan atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Syarikat yang disabitkan kesalahan pula boleh didenda sehingga RM15,000 bagi setiap barangan, manakala bagi kesalahan berikutnya denda boleh meningkat sehingga RM30,000 bagi setiap barangan,”katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penjualan barangan tiruan diminta menyalurkannya kepada KPDN Pulau Pinang bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil.
IMedikel TV






