Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera dalam satu kemalangan membabitkan sebuah van dan motosikal di Jalan Kampung Baru-Limau Kasturi, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu pada jam 9.05 pagi melalui Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam lebih kurang 7.10 pagi ketika sebuah van dipandu lelaki berusia 58 tahun dari arah Bertam menghala ke Sungai Asap untuk menghantar anak saudaranya ke sekolah.
“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu van terbabit cuba memotong sebuah lori yang berada di hadapannya. Pada masa sama, sebuah motosikal yang turut memotong kenderaan tersebut dipercayai hilang kawalan apabila memasuki bahu jalan sebelah kanan yang tidak berturap.
“Akibat keadaan itu, penunggang motosikal terjatuh ke atas jalan. Pemandu van tidak sempat membrek lalu melanggar mangsa, sebelum penunggang motosikal diseret bersama van sejauh kira-kira 15 meter,”katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Beliau berkata dalam kejadian itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Jeram Tekoh, manakala pembonceng motosikal mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang bagi tujuan bedah siasat,”katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,”jelasnya.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan berkenaan supaya menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Aida, di talian 019-9144855 bagi membantu siasatan.
IMedikel TV






