Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas meninggal dunia dalam satu kejadian kebakaran rumah berhampiran Hotel Pacific di Jalan Tok Guru, di sini, petang tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II PBK II Satyuti Satar dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Sistem NG 999 pada jam 5.58 petang sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu ke lokasi kejadian.
“Jentera bomba tiba di tempat kejadian pada jam 6.01 petang, kira-kira tiga minit selepas panggilan diterima, dengan jarak dua kilometer dari balai.
“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis sementara berkeluasan kira-kira 60 x 60 kaki persegi yang musnah hampir sepenuhnya, dianggarkan sebanyak 98 peratus,”mkatanya dalam kenyataan.
Beliau berkata operasi pemadaman membabitkan seramai 27 anggota terdiri daripada tiga Pegawai Bomba Kanan (PBK II), 22 Pegawai Bomba (PB) dan dua Pegawai Bomba Bantuan (PBB).
Turut digerakkan ialah tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah lori tangki air, sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta dua unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM).
IMedikel TV






