Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KUALA KRAI: Seorang penjual kereta lelong didenda RM7,500 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Krai, hari ini atas kesalahan menipu mangsa untuk menjual kereta, pada Ogos tahun lepas.
Tertuduh juga diarahkan dipenjara 12 bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.
Tertuduh, Muhamad Azhar Muhamad Riski, 47, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Amal Razim Alias.
Mengikut pertuduhan pilihan, Muhamad Azhar didakwa menipu mangsa, Mohd Tabliq Abdullah, 37, dengan niat curang telah memperdaya untuk menjual kereta Honda Civic sehingga mendorong menyerahkan wang berjumlah keseluruhan RM37,000.
Pembayaran itu dilakukan isteri mangsa melalui beberapa transaksi ke akaun bank milik syarikat tertuduh sebagai bayaran pembelian kereta berkenaan.
Bagaimanapun, tertuduh didakwa mengetahui urus niaga tersebut adalah palsu dan tidak berniat untuk menyerahkan kenderaan berkenaan kepada mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Budi, di sini, antara 11 Ogos hingga 18 Ogos 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazlinda Mohd Nor, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Farazalila Fauzi.
Terdahulu Farazalila memohon jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh bekerja sendiri sebagai penjual kereta, selain menanggung isteri, tiga anak yang masih belajar serta bapa uzur berusia 75 tahun.
Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.
IMedikel TV






