Home Buletin Semasa PENJAWAT AWAM GEMBIRA TERIMA BKK AIDILFITRI RM500

PENJAWAT AWAM GEMBIRA TERIMA BKK AIDILFITRI RM500

179
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: “Alhamdulillah dengan duit RM500 ini akan saya sedekahkan kepada golongan kanak-kanak yang datang beraya nanti,” kata seorang penjawat awam yang bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri bermula 24 Mac.

Menurut Sharifah Syazwina Syed Mohd Nazari, 26 dari Machang berkata, dia sangat teruja kerana bantuan itu adalah kali pertama yang diperoleh sepanjang bekerja sebagai penjawat awam lantikan kontrak.

“Ini adalah tahun pertama saya, duit BKK Aidilfitri itu semestinya akan diberi kepada kanak-kanak untuk duit raya, lebihan duit itu juga boleh buat beli persiapan raya termasuk baju raya.

“Kerajaan memang prihatin pada rakyat disebabkan itu bantuan ini sangat bermakna menjelang hari raya ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, menurut seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai, Melaka Siti Norhafizah Abdul Razak, 26, bonus raya itu sedikit sebanyak dapat meringankan kekurangan yang dihadapi terutama ketika kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya sangat bersyukur dan gembira dengan bonus raya yang diberikan oleh kerajaan, dengan adanya bonus raya ini dapat juga kita tampung perbelanjaan untuk raya memandangkan bila musim raya memang kita nak guna duit banyak,” katanya.

Tambahnya, bantuan tersebut juga patut diteruskan bagi membantu meringankan bebanan di masa akan datang kerana ia dapat memberi manfaat kepada kakitangan kerajaan.

Selain itu, seorang guru kafa, Jamilah Mat, 49 turut meluahkan rasa syukur apabila menerima bantuan khas yang disifatkan dapat menceriakan lagi sambutan Aidilfitri pada kali ini.

Malah katanya, bantuan itu membolehkannya membuat persiapan raya dengan lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.

“Raya sakan tahun ini sebab dapat beli kuih raya, sebelum ini saya tak beli sangat kuih raya sebab lebih kepada beli juadah seperti maruku sahaja.

“Tapi tahun ini mungkin boleh beli lebih sikit kuih raya sebab ada duit lebih memandangkan gaji saya juga tidak seberapa. Saya menerima BKK sebanyak RM250,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dengan peruntukkan mencecah RM1 bilion, kerajaan akan menyalurkan BKK Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah dan RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen, guru kafa, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja serta marbut.

BKK Aidilfitri akan disalurkan bermula 24 Mac nanti.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here