Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan siasatan aduan awam mengenai harga makanan set talam ayam yang mengelirukan pengguna di sebuah premis di sini, hari ini, kira-kira jam 12 tengahari. Berdasarkan tular, satu akaun media sosial menyatakan dia sebagai pengguna telah membuat bayaran RM 18.90 tidak sama seperti yang diiklankan RM13.90 dan menunjukkan resit bayaran yang dikenakan.
Pasukan operasi kemudian bertindak melakukan serbuan di alamat yang yang diadukan tersebut dengan membuat penyamaran uji beli terlebih dahulu. Hasil uji beli tersebut mendapati premis terbabit telah mengenakan harga terendah yang dipamerkan.
Selanjutnya pasukan memperkenalkan diri dan mendapati premis mengambil maklum akan aduan tular tersebut dan telah diambil maklum pihaknya.
Namun, pemeriksaan lanjut pasukan mendapati barangan yang dipamerkan untuk jualan dan harga yang dipamerkan (bergantung pada harga pasaran) masih mengelirukan pengguna tanpa menyatakan harga tetap atau anggaran atau penyataan yang jelas kepada pengguna untuk membuat pilihan.

Sebagai tindakan lanjut, pasukan operasi telah mengambil tindakan kes dan membuat penyitaan terhadap dokumentasi berkaitan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(1)(a) disyaki melakukan kesalahan memberi gambaran yang mengelirukan mengenai harga pada barang atau perkhidmatan mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.
KPDN Kelantan menggesa orang ramai untuk menyalurkan aduan jika terdapat sebarang aktiviti manipulasi harga oleh peniaga.
Para peniaga juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan mempamerkan tanda harga, termasuk menetapkan harga jualan jelas demi menjaga keharmonian perdagangan antara pengguna dengan peniaga. – KPDN –
IMedikel TV






