BAITULMAQDIS: Pencipta kandungan TikTok dari Palestin yang popular selepas berkongsi kehidupannya di Gaza di tengah perang Israel-Hamas, maut dalam serangan udara pada Isnin.
BBC dan NBC News melaporkan, Medo Halimy, 19, terkena serpihan daripada serangan udara Israel di Khan Younis, sebuah bandar di selatan Gaza.
Medo terkenal dengan video gaya vlognya, seperti resipi memasak dengan bekalan makanan terhad hingga menunjukkan kehidupannya di dalam khemah kerana dia dan keluarganya terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat perang berkenaan.
Di Instagram (IG) dan TikTok, Medo mengumpul lebih 250,000 pengikut.
Pegawai tempatan dengan Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas menganggarkan lebih 40,000 rakyat Palestin di Gaza terbunuh sejak Oktober.
Dalam temu bual dengan NBC News awal tahun ini, Medo menunjukkan ketahanan rakyat Palestin melalui perkongsian videonya.
“Kami akan bertahan dan hidup tidak kira apa yang berlaku, dalam apa jua keadaan.
“Kami tidak boleh dikalahkan. Kami adalah orang yang sangat kuat, dan kami akan terus hidup walau apa cara sekalipun,” kata Medo dalam temu bual itu.
Rakannya, Talal Murad, 18, berada bersama Medo ketika serangan dan mengalami kecederaan ringan, lapor NBC.
“Kami melakukan segala-galanya bersama-sama, kami ketawa, menangis, berjalan selama berjam-jam secara berterusan, menjalankan perniagaan bersama-sama, tetapi malangnya kami tidak mati bersama-sama.
“Dia sudah pergi dan saya adalah orang yang (akan) merinduinya, ” kata Talal dalam kiriman mesej di IG. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






