Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan IMedikel TV
KOTA BHARU: Dilema peniaga kecil dengan kenaikan harga mendadak.
Mereka dalam kesempitan untuk menaikkan harga jualan atau sebaliknya berikutan krisis kenaikan harga beras import.
Team Imedikel TV sempat membuat tinjauan dan menemu bual beberapa peniaga kedai makan berkaitan isu tersebut di sini, baru-baru ini.
Rata-rata mereka terkesan dengan kos beras import kerana memerlukan modal yang sangat tinggi untuk berniaga.
Seorang peniaga Siti Azizah Zakaria, 38 dari Wakaf Che Yeh berkata, kira-kira 15 kilogram beras import digunakan di kedainya setiap hari.

“Perniagaan saya memang terjejas sangat teruk kalau dulu beras harga RM80, selepas itu makin harga makin naik kepada RM95. Akhir-akhir ini, saya pergi kedai beras memang harga RM105 dan yang terpaling baharu memang mahal dengan harga RM120.
“Setakat ini saya tidak menaikkan lagi harga makanan kerana saya juga fikirkan ekonomi pelanggan walaupun harga bahan mentah juga meningkat.”katanya.
Azizah berkata, dia masih akan mengekalkan harga jualannya kerana memikirkan orang ramai yang ingin membeli walaupun perlu menanggung kos lebih tinggi.
Menurut Azizah, beras import mempunyai kualiti yang bagus berbanding beras putih tempatan kerana masih elok dan boleh dimakan pada keesokan harinya.
“Kelebihan berat import (Thailand) ini ketahanan dia lebih daripada satu hari berbanding dengan beras putih tempatan yang memang cepat basi,”katanya.
Katanya, dia pernah menggantikan beras import dengan beras putih tempatan kerana harganya lebih murah, namun kualitinya dilihat menjejaskan rasa hidangan makanan yang disediakannya.
Jelasnya, hal itu mendapat rungutan daripada pelanggan kerana kualiti nasi yang tidak menepati selera mereka.
Katanya, selain daripada kenaikan harga beras import, dia juga terpaksa menampung kenaikan harga barang basah lain seperti telur.
Azizah berharap pihak berwajib mengambil inisiatif dengan kesan jangka panjang terhadap keperluan asas atau makanan ruji orang ramai supaya tiada pihak yang terkesan.
Bagi peniaga kedai makan D’Cherry, Adnan Abu, 42, berkata sekiranya harga beras import terus meningkat, dia percaya peniaga makanan tidak mampu lagi menampung kenaikan kos dan akan menaikkan harga makanan.
“Perancangan saya ada juga nak naikkan harga jualan tapi masih dalam berbincangan pada harga berapa ringgit.
“Kalau harga beras tetap tidak turun, memang kita sebagai peniaga terpaksa naikkan harga jualan kerana kita juga mencari keuntungan dalam berniaga. Kalau hanya rugi yang dapat kesian juga pada kita,”katanya.
Tambah Adnan, dia juga bercadang untuk menggunakan sepenuhnya beras putih tempatan, namun beras itu tidak memberi hasil yang memuaskan.

Dengan itu, dia merayu agar pihak berkaitan perlu mengambil inisiatif untuk memastikan kualiti beras putih tempatan baik seperti beras import.
Manakala seorang lagi peniaga kecil, Hamidah Hasyim, 35, berkata, bagaimanapun, dia terpaksa menjual makanan dengan bekalan beras import demi menjaga kebajikan pelanggan.

“Sejak usia kecil lagi makan beras import jadi tekak memang tidak boleh terima untuk makan beras putih tempatan kerana kualitinya agak lembik jadi kalau saya berniaga menggunakan beras putih tempatan, mungkin perniagaan akan menjadi kurang laris,”katanya.
IMedikel TV






