Oleh: Nur Athirah Azman@Imedikel TV
KOTA BHARU: Pengurusan atlet Orang Kurang Upaya (OKU) bagi temasya Sukan Para Malaysia (Para Sukma) perlu diperkasakan khususnya dalam meningkatkan kuantiti pasukan sokongan untuk membantu pergerakan atlet tersebut.
Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Kelantan, Mohd Saipuddin Zakaria berkata ini kerana atlet memerlukan pengaturan pergerakan yang tersusun dan perlu dibantu oleh tenaga kerja termasuk jurulatih dan pegawai pemantau.

“Kalau untuk Para Sukma maknanya kita perlukan pegawai-pegawai sokongan yang lebih ramai khususnya dalam membantu atlet dari segi pergerakan.
“Paling kurang kena ada seorang yang gagah perkasa.
“Dia tengok keadaan kalau orang tu memang tak boleh berjalan kalau berkerusi roda akan ‘one to one’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Insentif Pencapaian Cemerlang Kontinjen Para Sukma XXI Sarawak 2024 Negeri Kelantan di Tunjong, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Exco Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakshari Muhamad.
Beliau berkata, pihaknya komited dalam memastikan peningkatan prestasi pada Para Sukma 2026 sebelum mencapai sasaran lebih besar pada 2028.
Tambahnya, beliau turut menyasarkan kontinjen negeri berada di kedudukan ketiga teratas pada 2028.
“Sasaran kita sebenar adalah 2028, kerana 2026 ini kita akan tengok peningkatan kita dan inshaallah sasaran untuk top 3 pada 2028 kita akan capai,” katanya.

Mohd Saipudin berkata, pihaknya sedang menilai atlet baharu untuk Para Sukma 2026 menerusi program yang bakal dilaksanakan pada masa terdekat.
Menurutnya, kontinjen negeri mempunyai kelebihan dalam acara ‘powerlifting’ sehingga berjaya memecahkan empat rekod kebangsaan selain kuat dalam sukan angkat berat, boccia dan lontar lembing yang meraih satu pingat emas.
Sementara itu, Exco Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakshari Muhamad berkata, walaupun kontinjen negeri berada pada kedudukan keenam, beliau berharap akan ada peningkatan sekurang-kurangnya kedudukan kedua hingga ketiga.

“Walaupun kita kata kurang cemerlang, tapi kalau kita bandingkan dengan tahun sebelumnya, sebenarnya ada peningkatan dari segi kemenangan pingat maknanya secara umum ada peningkatan, cuma dari segi kedudukan masih berada di bawah,” katanya.
IMedikel TV






