Home Buletin Semasa PENGGUNAAN AI DALAM TUGASAN SEKOLAH: BANTU ATAU LUMPUHKAN DAYA FIKIR PELAJAR?

PENGGUNAAN AI DALAM TUGASAN SEKOLAH: BANTU ATAU LUMPUHKAN DAYA FIKIR PELAJAR?

501
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi sebahagian daripada kaedah pembelajaran moden apabila pelajar semakin bergantung kepada aplikasi digital seperti ChatGPT untuk menyiapkan tugasan dan kerja sekolah.

Namun, perkembangan itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa dan pendidik yang bimbang penggunaan tanpa kawalan boleh menjejaskan kemahiran berfikir pelajar.

Seorang ibu kepada lima anak, Siti Khairani Samad, 40, dari Ketereh berkata, walaupun penggunaan AI memudahkan proses pembelajaran, pelajar tidak seharusnya menjadikan teknologi itu sebagai jalan pintas.

“Kalau guna untuk semak maksud atau rujukan, itu tidak mengapa. Tetapi bagi subjek seperti matematik, pelajar perlu mengira sendiri.

“Perkara itu merisaukan saya sebab anak saya juga menggunakan AI untuk pengiraan, jadi dia terus dapat jawapan tanpa tahu cara penyelesaian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berpendapat penggunaan AI dalam kalangan pelajar universiti wajar digalakkan tetapi dengan kawalan dan kefahaman.

“Kita tidak menolak ChatGPT kerana ia sebahagian daripada perkembangan teknologi, tapi pelajar perlu guna dengan bijak dan bukan sekadar meniru. Pensyarah boleh mengenal pasti jika tugasan itu hasil AI semata-mata,” katanya.

Bagi guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kob, Kedah, Noralida Azmi, penggunaan AI dalam kalangan pelajarnya semakin meluas, namun beliau sering menasihatkan agar teknologi itu digunakan hanya sebagai bahan rujukan.

“AI berguna untuk bantu faham topik dengan lebih jelas, tetapi kalau pelajar bergantung sepenuhnya, mereka akan jadi malas berfikir.

“Lebih membimbangkan kalau mereka serah tugasan yang dibuat sepenuhnya oleh AI tanpa memahami isi kandungan,” katanya ketika dihubungi.

Guru Sekolah Kebangsaan Beris Lalang, Zaiton Ali, pula berpendapat tiada keperluan untuk mendedahkan murid sekolah rendah kepada teknologi tersebut pada masa ini.

“Setakat ini murid sekolah rendah masih belum terdedah dengan penggunaan AI lagi, mungkin lebih kepada pelajar sekolah menengah dan universiti.

“AI boleh jadi baik atau buruk bergantung pada cara ia digunakan, kalau untuk semak tatabahasa atau dapatkan idea, itu bagus, tetapi kalau semua diserahkan pada AI, pelajar akan hilang kreativiti dan usaha sendiri,” katanya.

Teknologi AI terus menjadi topik perbincangan hangat dalam dunia pendidikan dengan pelbagai pandangan sama ada ia menjadi alat bantu belajar yang berkesan atau ancaman terhadap daya fikir generasi muda.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here