KUALA LUMPUR: Pengawal keselamatan maut selepas tebing setinggi enam meter runtuh dan menimbus pondok pengawal di Wisma YPR, Taman Seputeh di sini, awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12.54 pagi.
“Maklumat daripada pemanggil berlaku tanah runtuh dan terdapat mangsa yang tertimbus.
“Runtuhan itu membabitkan seorang mangsa lelaki dewasa iaitu pengawal keselamatan, dia tertimbus di bawah runtuhan tanah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa berjaya ditemui di kedalaman tiga meter pada 6.23 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian.
Menurutnya, operasi menyelamat disertai 37 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamatan (BBP) Hang Tuah, Seputeh, dikerahkan bersama unit anjing pengesan (K9) serta Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).
“Operasi pencarian turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.
Sumber: BH Online
Imedikel TV






