Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KULIM: Aduan penduduk mengenai sebuah lori tipper yang disyaki membawa muatan pasir berlebihan serta dipandu laju di kawasan perumahan sekitar Taman Seroja, Taman Cempaka dan Jalan Junjung–Ara Kuda mendapat tindakan pantas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kulim.
Dalam kenyataan menerusi laman rasmi, hasil pemeriksaan dan penimbangan yang dijalankan mendapati lori berkenaan membawa muatan melebihi 50 peratus daripada had yang dibenarkan.
“Susulan kesalahan itu, kenderaan terbabit disita untuk tindakan lanjut, manakala pemandu dan pemiliknya akan dihadapkan ke mahkamah mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.
“JPJ turut merakam bukti bergambar bagi melengkapkan siasatan terhadap kes berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan, JPJ Cawangan Kulim menegaskan setiap aduan orang awam dipandang serius dan akan disiasat serta diambil tindakan sewajarnya.
JPJ turut mengingatkan bahawa kerjasama masyarakat amat penting dalam membantu memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
IMedikel TV






