LONDON: Wayne Rooney menggesa Manchester United mendapatkan empat pemain tambahan dan memberi amaran kepada Marcus Rashford bahawa dia perlu memperbaiki prestasinya jika mahu kekal bersama kelab itu.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, United sedang melakukan persiapan menghadapi musim baharu Liga Perdana Inggeris (EPL) yang akan membuka tirai hujung minggu ini, namun aktiviti perpindahan terus menjadi tajuk utama.
Skuad Red Devils sudah mendapatkan tiga pemain baharu pada musim panas, dengan Andrey Santos, Youri Tielemans dan Karl Darlow masing-masing melengkapkan perpindahan ke Old Trafford.
United mempunyai masa sehingga 1 September untuk menyelesaikan urusan perpindahan mereka dan Rooney mencadangkan empat posisi yang menurutnya perlu diperkuatkan kelab itu sebelum tarikh akhir berkenaan.
Rooney menyenaraikan pemain Arsenal, Myles Lewis-Skelly sebagai calon yang berpotensi menjadi tambahan bernilai, selain mencadang tiga lagi bahagian di atas padang yang dirasakan perlu diperkukuhkan.
“Saya fikir Luke Shaw mempunyai musim yang sangat baik musim lalu, tetapi dia tidak memberikan persembahan terbaik ketika menentang AC Milan. Jadi, saya tidak fikir anda boleh bergantung kepada Luke Shaw untuk konsisten sepanjang musim,” kata Rooney dalam episod pertama ‘Stick to United’ daripada The Overlap.
“Ia membawa saya kepada Lewis-Skelly dan kami mendengar bahawa dia boleh diperoleh dengan harga yang tidak terlalu tinggi. Pada saya, ia memang satu keputusan yang tidak perlu difikir panjang.
“Jika anda boleh mendapatkan pemain yang boleh bermain sebagai bek kiri dan juga di bahagian tengah. Dia masih muda, mempunyai masa depan yang sangat cerah. Saya fikir ia memang satu keputusan yang tidak perlu difikir panjang jika anda boleh membawanya masuk.
“Saya mahu melihat seorang lagi pertahanan tengah, seorang lagi pemain tengah dan seorang penyerang tengah.
“Jadi, saya fikir masih banyak kerja yang perlu dilakukan, tetapi saya berasa sangat penting pemain yang mereka bawa masuk itu adalah pemain yang tepat dan membuat pilihan yang betul.”
Rooney kemudian melontarkan pesanan kepada Rashford yang kembali ke United pada musim panas ini selepas menamatkan tempoh pinjaman bersama Barcelona.
Rashford masuk sebagai pemain gantian ketika United tewas dalam perlawanan persahabatan kepada AC Milan hujung minggu lalu dan masih belum jelas sama ada pemain antarabangsa England itu akan kekal di Old Trafford selepas musim panas ini.
Rooney berkata: “Saya fikir kita tahu dia (Rashford) mempunyai kemampuan, dia sudah menunjukkannya. Bagi saya, adakah dia mempunyai keinginan? Adakah dia mahu bermain untuk Manchester United?
“Sekarang, jika dia mahu bermain untuk Manchester United, saya pernah lalui situasi itu pada 2010 apabila saya minta untuk meninggalkan kelab. Ada satu peringkat di mana anda perlu membina semula hubungan dengan penyokong.
“Jadi, mungkin itu satu perkara yang perlu diusahakannya. Dia mungkin perlu bekerjasama dengan seseorang untuk menjadikan bahasa tubuhnya kelihatan lebih baik. Saya fikir kadar kerjanya perlu dipertingkatkan, tetapi jika dia mahu berada di kelab ini, dia hanya perlu fokus dan bekerja keras.”
Rooney kemudian menjelaskan mengapa dia begitu berharap untuk melihat Rashford kembali menyerlah bersama United.
Bekas penyerang United itu menambah: “Saya tidak mahu melihat Marcus Rashford beraksi baik di Aston Villa atau Barcelona, saya mahu melihat dia beraksi baik di Manchester United dan menjaringkan gol untuk Man United.” – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






