IPOH:Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan pengamal media diberikan peluang dan penghormatan membaca Khutbah Jumaat di beberapa masjid di negeri Perak esok sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang akan berlangsung di Ipoh, di sini pada 27 dan 28 Mei ini.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini, dalam satu kenyataan, berkata Sultan Nazrin menitahkan agar Khutbah Jumaat di negeri Perak pada esok bertemakan “Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam.”
Beliau berkata, peluang itu diberikan sebagai mengiktiraf peranan penting wartawan.

“Jabatan Penyiaran Negeri Perak serta Persatuan Pengamal Media Perak telah mengemukakan tiga nama pengamal media kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak untuk mendapat tauliah membaca khutbah di tiga masjid di negeri Perak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, Pengarang Berita (Rencana & Agama) BH, Nazmi Yaakub diperkenankan tauliah untuk membaca Khutbah Jumaat di Masjid Negeri, Masjid Sultan Idris Shah II.
Dua lagi pengamal media yang diberikan perkenan tauliah ialah Saifullah Ahmad dari Sinar Harian yang ditugaskan menyampaikan khutbah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh manakala Mohd Fahmi Mohd Nor dari RTM bakal menyampaikan khutbah di Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh.
Sumber BH Online
Imedikel TV






