LONDON: Menurut Frank Lampard Chelsea perlu ada wawasan untuk jangka Panjang bagi kelab itu sekiranya mahu bangkit di bawah pemilik baharu.
Pemilik bersama, Todd Boehly dan Behdad Eghbali sudah memecat dua pengendali dalam musim pertama mereka di Stamford Bridge.
Chelsea akan menamatkan saingan dengan kutipan mata terendah dalam era Liga Perdana Inggeris buat pertama kali sejak tahun 1996.
Lampard memainkan peranan penting sebagai pemain ketika era kegemilangan The Blues walaupun budaya lantik dan pecat sudah bermula di bawah Roman Abramovich.
Bagaimanapun pengendali sementara itu percaya, situasi lebih stabil diperlukan apabila Mauricio Pochettino dijangka akan disahkan sebagai pengendali baharu musim depan.

Sebanyak 11 kelab Liga Perdana Inggeris memecat pengendali mereka musim ini, dengan Chelsea, bersama Southampton dan Leeds, salah satu daripada tiga kelab yang memecat dua orang pengendali.
“Anda akan terfikir sejauh mana kejayaan dicapai dengan melakukan perubahan itu. Ia sudah menjadi lumrah buat beberapa pasukan yang bergelut dengan jangkaan ke atas mereka dan menjadikannya tidak stabil.
“Pada masa akan datang, reaksi terhadap satu atau dua kekalahan mungkin berbeza, tetapi sekarang, keputusannya amat drastik,” kata Lampard.
Sejak Lampard kembali mengambil alih pasukan pada April, Chelsea tewas tujuh daripada sembilan perlawanan dan kini menghuni tangga ke-12 Liga Perdana Inggeris. – AFP
SUMBER BH ONLINE
Imedikel TV





