Home Hiburan PENAT ‘KERAH’ EMOSI

PENAT ‘KERAH’ EMOSI

SEIRING masa berlalu, pelakon jelita, Mira Filzah, 32, kini membuktikan bakat lakonannya dengan watak berat seperti wanita dicurangi dan berhadapan masalah memiliki anak.

Memetik laporan Harian Metro, ibu seorang cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir, 3, ini bagaimanapun tidak menafikan dia lebih penat apabila perlu merealisasikan watak emosi dan air mata.

“Seperti watak Nabilla dalam drama Mandul Bukan Pilihan memang sangat berat kerana saya perlu betul-betul menyelami tuntutan watak itu.

“Saya juga harus bergelut dengan emosi dan berendam air mata sebagai isteri yang tidak berkemampuan melahirkan zuriat mengikut garapan kisahnya.

“Memang saya tak nafikan banyak menangis untuk watak Nabilla dan ia sama sekali berbeza dengan watak Elina dalam Curang Tanpa Niat sebelum ini,” katanya.

Pemilik nama sebenar Nur Amirah Filzah Badioezaman ini turut menyifatkan sebagai Nabilla, dia perlu akur dengan takdir Tuhan buatnya.

“Kalau kata Nabilla nak marah, tak boleh juga dia nak marah pada dirinya sebab tetap kena usaha untuk dapatkan zuriat.

“Konflik emosi yang berat itu memang memenatkan diri saya, selain sangat mencabar untuk meluahkan kesedihan dilalui,” katanya.

Ditanya pandangannya terhadap golongan wanita yang berhadapan masalah mandul atau perlu berusaha hamil (TTC), jelasnya mereka yang diuji oleh takdir itu benar-benar kental.

“Bagi saya, golongan wanita TTC ini sangat memiliki kekuatan yang luar biasa dan sebenarnya hanya mereka saja yang tahu keperitan, kepayahan dan kesungguhan dihadapi.

“Pasangan berkahwin memang impikan memiliki cahaya mata, namun tidak semua wanita mendapat rezeki itu. Emosinya memang sangat berat.

“Untuk saya sendiri pun, sebagai individu yang melakonkan watak Nabilla turut rasa sukar mendalaminya kerana tidak ada pengalaman.

“Saya pernah hamil dan sudah ada anak. Jadi, bagi menggambarkan emosi wanita yang berjuang untuk hamil itu agak sukar, terutama memahami tahap kesedihan mereka,” katanya.

Menurut bekas pengacara Nona ini, dia berharap kecanggihan teknologi perubatan zaman sekarang dapat membantu merealisasikan impian wanita yang ingin bergelar ibu.

Selain Mira, barisan pelakon Mandul Bukan Pilihan arahan Osman Ali itu ialah Hun Haqeem, Ayda Jebat, Chacha Maembong, Ashraf Muslim dan Normah Damanhuri.

Mengharapkan penonton dapat mesej yang baik-baik dalam drama itu, Mira berkata, dia sangat seronok bekerjasama dengan rakan pelakon lain yang baginya cukup memberi pada watak masing-masing. – HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here