Home Hiburan PENAT BUKAN ‘PILIHAN’

PENAT BUKAN ‘PILIHAN’

360
0

Tidak keterlaluan dikatakan nama penyanyi Hael Husaini kini mendunia. Lagu Meriah Lain Macam nyanyian duetnya dengan Nadeera Zaini pada Syawal lalu mencipta fenomena tersendiri.

Memetik laporan Harian Metro, lagu ciptaan bersama Iqie Hugh ini dimainkan menerusi pelbagai medium sehingga mencatat kedudukan nombor satu di carta Malaysia dan Brunei dengan mencatat lebih 16 juta tontonan di YouTube.

Malah, dek kerana penangan lagu itu, Hael tidak putus-putus dihujani tawaran mengadakan persembahan sehingga pernah beraksi di tiga lokasi berbeza dalam satu hari.

Tidak terkecuali penampilannya sewaktu pelancaran restoran EG’s Wok Kitchen di The Campus, Ampang, baru-baru ini dinanti-nantikan peminatnya.

Cukup sekadar menyampaikan dua lagu, kemunculannya sudah cukup menghiburkan dan menggembirakan mereka yang setia menunggu.

Bagi mereka yang rata-rata adalah peminatnya, kesempatan bertemu Hael secara berdepan dianggap momen berharga.

Hael yang ditemui berkata, dia tidak mempunyai masalah menjayakan persembahan di lokasi berbeza kerana mempunyai jadual yang disusun rapi.

“Kalau nak diikutkan benda ini dah jadi rutin saya bekerja. Jadi saya sebenarnya tak ada rasa penat atau tiada istilah penat dalam bekerja.

“Terutama apabila saya melakukan aktiviti bertemu peminat dan semua di lokasi, ia ibarat terapi buat saya.

“Saya sebenarnya susah nak tolak undangan yang datang. Kalau nak ikutkan, semua pelawaan saya sambut dengan berbesar hati sebenarnya,” katanya.

Hael turut berterima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi menjemputnya pada hari istimewa mereka.

“Makanan disediakan pun sedap. Saya puji keberanian pemilik restoran menjalankan perniagaan ini dan mendoakan kejayaan mereka,” katanya.

Sementara itu, pemilik EG’s Kitchen Wok, Rizwana Bashir Ahmad memuji Hael yang bersikap profesional menjalankan tugasnya sebagai penghibur.

“Hael dipilih kerana dia memang popular. Dia ada ‘fan base’ (pangkalan peminat) yang kuat. Mereka pun seronok dan terhibur dengan penampilan dia.

“Idea pembukaan restoran tercetus apabila saya teringatkan restoran dan makanan di tempat saya belajar dahulu di Universiti Cardiff, Wales, United Kingdom dalam bidang kejuruteraan.

“Dengan lebih daripada 12,960 kombinasi unik boleh dipilih, setiap hidangan adalah benar-benar disesuaikan mengikut cita rasa individu.

“Insya-Allah…kita boleh jemput dia lagi selepas ini jika buka cawangan lain. Mana tahu dia boleh jadi duta kami pula,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Hael menerusi syarikat Rockefuel Entertainment kini mengeluarkan lagu Diam nyanyiannya dan Bukan Lagi Kita nyanyian Nadeera dalam versi Anugerah Juara Lagu (AJL).

“Ia atas permintaan Rocketfuel dan juga peminat kami. Untuk versi kali ini, ia memberi satu benda yang akan mengubati mereka yang nak mendengar versi AJL tapi kalau dalam bahasa saintifiknya HD.

“Ia lebih ke depan lagi dari segi bunyi dan sebagainya. Ia rakaman versi baharu tapi versi yang berasal daripada AJL.

“Saya tidak sabar beraksi dalam showcase istimewa Hael Husaini: Antonim Night di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), pada 31 Mei ini.

“Saya berjanji showcase ini bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya hadiah buat peminat yang setia menunggu dan tidak pernah berhenti menyokong kerjaya saya,” katanya.-HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here