Home Sukan PENALTI HOJLUND BANTU NAPOLI ATASI GENOA

PENALTI HOJLUND BANTU NAPOLI ATASI GENOA

243
0

GENOA: Penalti saat akhir Rasmus Hojlund menghadiahkan Napoli kemenangan 3-2 ke atas Genoa biarpun beraksi dengan 10 pemain, sekali gus merapatkan jurang dengan dua pasukan teratas Serie A, awal pagi tadi.

Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, Hojlund menyempurnakan sepakan penalti pada minit kelima masa tambahan, jaringan keduanya dalam perlawanan itu, ketika Napoli terpaksa mengharungi 15 minit terakhir tanpa Juan Jesus yang dibuang padang.

Keputusan itu menyaksikan juara bertahan berkenaan mengumpul 49 mata, kekal enam mata di belakang pendahulu Inter Milan dan satu mata di belakang AC Milan di tempat kedua, dengan kedua-duanya bermain kurang satu perlawanan.

Ia penalti kontroversi – selepas semakan VAR mendapati pemain gantian Genoa, Maxwel Cornet, terpijak kaki Antonio Vergara di dalam kotak – tetapi menghidupkan peluang Napoli untuk mempertahankan kejuaraan.

Perlawanan bermula cemas apabila Genoa mendahului seawal minit ketiga menerusi penalti Ruslan Malinovskyi selepas VAR mengesahkan Alex Meret menjatuhkan Vitinha.

Napoli menyamakan kedudukan pada minit ke-20 apabila Scott McTominay melakukan rembatan padu yang ditepis penjaga gol Justin Bijlow, sebelum Hojlund mudah menolak masuk bola lantunan.

Dua minit kemudian, McTominay meledak gol dari jarak lebih 20 meter untuk meletakkan Napoli di hadapan 2-1 pada separuh masa pertama, namun pemain Scotland itu terpaksa dikeluarkan selepas rehat kerana kecederaan.

Genoa kembali bangkit pada minit ke-57 apabila Lorenzo Colombo memanfaatkan kesilapan pertahanan Napoli untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Napoli menerima tamparan apabila Juan Jesus dilayangkan kad merah, namun tetap kental bertahan sebelum mendapat penalti penentuan di penghujung perlawanan yang disudahkan Hojlund bagi memastikan tiga mata penuh dibawa pulang. – REUTERS, BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here