Home Sukan PEMINAT MENINGGAL DUNIA KETIKA AKSI GRANADA-BILBAO

PEMINAT MENINGGAL DUNIA KETIKA AKSI GRANADA-BILBAO

GRANADA, Sepanyol: Perlawanan antara Granada menentang Athletic Bilbao pada aksi La Liga semalam ditangguh selepas seorang penyokong meninggal dunia di bangku penonton di Stadium Nuevo Los Carmenes.

Memetik laporan AGENSI menerusi berita harian,Perlawanan itu dihentikan pada minit ke-18 ketika pelawat Athletic mendahului 1-0 dan seorang peminat Granada mendapat rawatan perubatan dengan La Liga mengesahkan perlawanan itu kemudian ditangguh “kerana kematian menyedihkan seorang penyokong” dalam satu kenyataan.

Pemain kedua-dua pasukan meninggalkan padang 20 minit selepas perlawanan ditangguh, dengan penyokong kemudiannya diminta meninggalkan stadium selepas keputusan diambil untuk menangguhkan perlawanan itu.

“Bola sepak menjadi perkara yang kurang penting, ia satu tragedi yang perlu kami lalui dan kami sedang berkabung,” kata pengarah Granada, Alfredo Garcia Amado, yang turut mengucapkan terima kasih kepada pegawai perubatan Athletic kerana membantu semasa insiden itu.

Granada mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan peminat dengan beberapa kelab lain liga itu menurutinya di media sosial.

Penjaga gol Athletic, Unai Simon disanjung penyokong Granada kerana dia memberitahu pegawai perlawanan mengenai insiden di bangku penonton.

Pelawat Athletic mendahului menerusi jaringan awal Inaki Williams.

La Liga kemudian mengesahkan perlawanan itu akan disambung awal pagi esok bermula minit ke-17. – AFP-BH ONLINE-

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here