Home Sukan AFIQ BANGGA SUMBANG JARINGAN BUAT PAHANG RANGERS

AFIQ BANGGA SUMBANG JARINGAN BUAT PAHANG RANGERS

KUANTAN: “Peluang yang terhidang digunakan sepenuhnya untuk menghasilkan jaringan yang begitu berharga untuk pasukan Pahang Rangers FC,” kata Afiq Abd Rahman.

Jaringan bersejarah itu berlaku pada pertemuan Pahang Rangers dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) saingan separuh akhir kedua Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) di Stadium Tertutup Pasir Gudang, Johor, Sabtu lalu.

Menurut penjaga gol berusia 35 tahun itu, dia tidak meletakkan impian berada sebaris dengan rakan sepasukan sebagai penyumbang jaring kerana pada masa sama mengalas tugas mengawal gawang Tok Gajah.

Menurut pemain kelahiran Kuantan itu, jaringan pada pertemuan dengan JDT adalah gol pertamanya musim ini yang tidak pernah diduga mampu mencetuskan kejayaan untuk pasukan.

“Pada perlawanan itu saya tidak meletakkan impian untuk menyumbang jaringan, sebalik apa yang berlaku diluar jangkaan apabila peluang terhidang dapat disempurnakan dengan berkesan untuk pasukan yang amat memerlukan gol.

“Saya membuat percubaan kencang ke gawang lawan yang dikawal bekas rakan sepasukan sebelum ini, Zainulzahin Sinuan. Menerusi percubaan itu bola laju ke penjuru pintu gol JDT,” katanya, dihubungi di sini hari ini.

Katanya perlawanan separuh akhir kedua bertemu JDT Sabtu lalu dianggap begitu bermakna buat dirinya sepanjang lapan musim bersama Pahang Rangers, selain dapat menjaringkan gol pada masa sama membantu pasukan melangkah ke pentas final MPFL musim ini.

Afiq berkata, perjuangan Pahang Rangers musim ini kini sampai ke penghujungnya, kemuncak perjuangan beraksi pada dua perlawanan akhir bertemu Selangor FC, pertemuan pertama pada 24 Oktober di Stadium Tertutup SUKPA, di sini dan perlawanan kedua pada 31 Oktober ditempat lawan.

Menurutnya, impian musim ini untuk menjulang piala kejuaraan selepas gagal pada perlawanan akhir musim lalu, episod kecundang pada Selangor FC diharap tidak berulang pada perlawanan pertemuan akhir kali ini.

“Pada dua perlawanan final kali ini saya hanya menumpukan pada tugas mengawal gawang Pahang Rangers, hanya sekiranya peluang terhidang percubaan ke gawang lawan dilakukan.

“Saya tidak sanggup melihat pasukan kecewa hanya kerana kecuaian saya mengawal pintu gol, biarlah usaha memburu jaringan dilakukan rakan dibahagian serangan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here