Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
SEREMBAN: Polis mengesahkan menerima sembilan laporan berhubung penemuan bungkusan mencurigakan yang ditinggalkan atau dihantar ke beberapa sekolah di negeri ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata daripada jumlah itu, lima laporan diterima di daerah Nilai, manakala empat lagi di daerah Tampin.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan mempunyai persamaan dari segi bentuk bungkusan dan kandungannya.

“Bungkusan itu dilaporkan berada di kawasan sekolah untuk suatu tempoh sebelum pihak sekolah membuat laporan polis apabila penerima yang tertera pada bungkusan tidak hadir untuk mengambilnya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Susulan laporan diterima, polis mengambil langkah keselamatan dengan mendapatkan bantuan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan keselamatan terhadap bungkusan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada bahan letupan atau bahan berbahaya ditemukan, manakala pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan itu mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik.
Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghantar atau meninggalkan bungkusan berkenaan, selain menentukan motif sebenar kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pihak pengurusan sekolah dan orang ramai supaya tidak menyentuh, membuka atau mengalihkan sebarang bungkusan mencurigakan yang tidak diketahui pemilik atau asal usulnya.
“Sebarang penemuan hendaklah segera dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan keselamatan selanjutnya,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat atau mengganggu siasatan.
IMedikel TV






