Home Buletin Semasa POLIS KEJAR MOTOSIKAL 3KM, RUPANYA DITUNGGANG REMAJA 15 TAHUN

POLIS KEJAR MOTOSIKAL 3KM, RUPANYA DITUNGGANG REMAJA 15 TAHUN

GUA MUSANG: Aksi kejar-mengejar sejauh kira-kira tiga kilometer berakhir dengan sebuah motosikal terbabas sebelum penunggangnya, remaja lelaki berusia 15 tahun, ditahan polis di kawasan Bandar Lama Gua Musang, awal pagi Jumaat lalu.

Remaja itu dipercayai menunggang secara melulu dan berbahaya ketika cuba melarikan diri daripada polis, termasuk melakukan aksi mengangkat tayar hadapan, melawan arus serta melanggar lampu isyarat merah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik daerah menerima maklumat orang ramai mengenai sekumpulan penunggang motosikal yang membuat bising dan dipercayai menguji kelajuan di Jalan Persiaran Raya.

Menurutnya, hasil pemantauan mendapati lima motosikal sedang melakukan aktiviti berkenaan sebelum semua penunggang melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis.

“Polis kemudian mengejar salah sebuah motosikal sebelum penunggangnya berjaya ditahan selepas terbabas.

“Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda C100 serta beberapa barangan berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergerakan anak-anak serta tidak membenarkan mereka menunggang motosikal tanpa lesen atau terbabit dalam kegiatan yang membahayakan pengguna jalan raya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here