Home Buletin Semasa JPJ PERIKSA LAPAN PREMIS, KESAN AKSESORI KENDERAAN TIDAK IKUT SPESIFIKASI

JPJ PERIKSA LAPAN PREMIS, KESAN AKSESORI KENDERAAN TIDAK IKUT SPESIFIKASI

KUANTAN: Sebanyak lapan premis yang mengusahakan bengkel kereta dan motosikal diperiksa dalam Ops Bengkel di daerah ini, semalam.

Operasi bersepadu membabitkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang disertai 17 anggota penguat kuasa agensi terbabit.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman, berkata ops bengkel lebih menumpukan pada pemeriksaan premis menjual alat ganti kereta dan motosikal yang banyak terdapat di daerah ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati terdapat premis yang menawarkan alat ganti dan aksesori kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan antaranya seperti saiz nombor pendaftaran, ekzos yang diubah suai dan tayar motosikal tidak mengikut saiz.

Menurutnya, pihaknya telah memberi nasihat serta peringatan kepada pengusaha premis berhubung penjualan aksesori berkenaan, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pemilik terus melakukan kesalahan.

“Pada operasi itu pihak KPDN mengeluarkan satu notis kompaun terhadap satu premis kerana kesalahan tidak mempamerkan tanda harga jualan.

“Kita akan terus mengadakan ops bengkel diseluruh negeri dalam memastikan pemilik bengkel tidak menawarkan alat ganti dan aksesori kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi,” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya turut memeriksa premis menyediakan tayar lori di kawasan Gebeng, dekat sini.

Katanya terdapat maklumat premis terbabit menyediakan perkhidmatan menyewa tayar kepada pengusaha lori bagi tujuan pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM150 bagi sebuah lori.

Beliau berkata, pihaknya perlu menyiasat lebih lanjut sebelum sebarang tindakan undang-undang dikenakan pada pemilik premis terbabit.

“Jabatan akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bersama agensi berkaitan bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan dan aspek keselamatan kenderaan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here