Selepas dua dekad, Teater Muzikal Puteri Hang Li Po (TMPHLP) bakal dipentaskan buat kali kedua sebagai simbolik sambutan 50 tahun hubungan diplomatik membabitkan dua negara iaitu Malaysia dan China.
Pementasan teater muzikal ini berlangsung di Encore Melaka dari 3 hingga 6 Oktober depan buat julung kalinya.
Ketua Pengarah, Istana Budaya (IB), Zubaidah Mukhtar berkata, pemilihan muzikal ini bertepatan bagi menyemarakkan industri pelancongan dan budaya serta salah satu aktiviti dalam meraikan hubungan diplomatik dua negara.
“Ikon Puteri Hang Li Po sememangnya tidak asing dengan Melaka dan bertepatan untuk menjadikan Encore sebagai lokasi persembahan.
“Seiring itu juga pementasan ini turut menyokong dan merancakkan lagi sambutan Kempen Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya.

Berbanding pada 2004, katanya, pementasan kali ini menampilkan 32 gubahan muzik baharu, lagu, tarian dan melodi penceritaan yang diberi nafas baharu dipimpin oleh Pengarah Muzik, Mohd Yazid Zakaria.
“Cabaran utama adalah memastikan kualiti pementasan setanding atau lebih baik daripada versi asal.
“Saya percaya dengan adanya kepakaran di IB dan kecanggihan teknologi pentas Encore Melaka, teater muzikal yang bakal dipentaskan nanti pasti akan ada kelasnya yang tersendiri.
“Teknologi pentas Encore Melaka yang serba canggih dengan adanya pentas berputar 360 darjah pastinya akan memberikan pengalaman menakjubkan kepada penonton yang menyaksikan teater ini,” katanya.
Mengenai TMPHLP lagi, kata Zubaidah, selain mengangkat tema cinta dan tanggungjawab, naskhah ini adalah cerita ilustrasi diinspirasikan dari rekod sejarah iaitu persahabatan antara Maharaja China dan kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15.
Katanya, ia hasil karya asal Allahyarham Rahimidin Zahari dan skrip teater ini digarap semula di bawah arahan Adzwa Saini selaku pengarah persembahan dan dibantu bakat muda dari IB iaitu Amsyar Azizan.
“Teater muzikal berdurasi lebih dua jam ini menggabungkan seni warisan dan kebudayaan Malaysia dan China melalui tarian, busana, seni mempertahankan diri, serta linguistik antarabangsa.
“Dua pemuzik dari China turut diundang untuk berkolaborasi dengan pemuzik IB sebagai simbolik keharmonian antara kedua-dua negara.
“Artifak purba era Dinasti Ming turut dipamerkan bagi menaikkan lagi nilai artistik seni sekali gus mencapai objektif pementasan sebagai ‘cultural exchange’ seiring dengan matlamat utama kerajaan,” katanya. – HMetro Online –
IMedikel TV






