Home Buletin Semasa PEMEGANG KAD UNHCR MASIH TERTAKLUK AKTA IMIGRESEN – JIM

PEMEGANG KAD UNHCR MASIH TERTAKLUK AKTA IMIGRESEN – JIM

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan warga Rohingya yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah masih tertakluk kepada peruntukan Akta Imigresen 1959/63.

Penegasan itu dibuat susulan laporan media berhubung status warga Rohingya pemegang kad UNHCR.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata JIM menafikan pihaknya pernah menyatakan bahawa warga Rohingya pemegang kad UNHCR bukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Menurutnya, pemegang kad UNHCR yang sah masih boleh dikenakan tindakan sekiranya melakukan kesalahan imigresen lain, termasuk bekerja tanpa pas atau permit yang sah.

“Pengecualian hanya melibatkan dua kesalahan di bawah Akta Imigresen, iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta tinggal lebih masa.

“Pengecualian terhadap kedua-dua kesalahan ini tidak bermaksud pemegang kad UNHCR dikecualikan daripada pematuhan terhadap peruntukan lain di bawah Akta Imigresen,” katanya dalam kenyataan media.

JIM turut menegaskan majikan yang menggaji pelarian pemegang kad UNHCR tanpa kebenaran sah juga boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang.

Dalam pada itu, beliau berkata Pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dilaksanakan berdasarkan dasar Kerajaan yang diselaraskan melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No.23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka serta Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Zakaria berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan jabatan itu dipertanggungjawabkan melaksanakan pendaftaran pelarian serta pemohon suaka melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

“Pelaksanaan DPP bertujuan membolehkan Kerajaan memiliki data yang lebih menyeluruh dan teratur berhubung keberadaan pelarian serta pemohon suaka di Malaysia.

“Sebarang keputusan berkaitan pengurusan golongan berkenaan adalah tertakluk kepada dasar yang ditentukan MKN melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka,” katanya.

Beliau berkata JIM kekal komited untuk terus melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan imigresen secara tegas, berlandaskan undang-undang serta dasar Kerajaan yang ditetapkan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here