JAKARTA: Lapangan terbang utama Indonesia dan beberapa hab penerbangan lain dibuka semula awal Selasa selepas ditutup selama beberapa hari akibat abu letusan gunung berapi, kata Kementerian Pengangkutan.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, Kementerian itu menerusi Instagram memaklumkan lapangan terbang yang berkhidmat untuk ibu negara Jakarta dan empat lagi lapangan terbang berhampiran bandar itu atau di sekitar Pulau Jawa kini kembali beroperasi.
Ini susulan ancaman keselamatan penerbangan yang sebelum ini menyebabkan ratusan ribu penumpang terkandas semakin reda.
Gunung Anak Krakatau, kira-kira 150 kilometer (km) dari Jakarta, meletus pada Sabtu, memuntahkan lahar serta kepulan abu gunung berapi.
Lapan lapangan terbang menghentikan operasi pada hujung minggu selepas abu dikesan di ruang udara masing-masing, menyebabkan hampir 3,000 penerbangan terganggu dan lebih 340,000 penumpang terkandas, menurut Kementerian Pengangkutan pada Isnin.
Awal Selasa, kementerian itu memaklumkan menerusi Instagram bahawa lapangan terbang Jakarta dan empat lagi lapangan terbang kembali beroperasi.
Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta menerusi Instagram memaklumkan bahawa susulan aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau yang masih berlaku, lapangan terbang berkenaan sudah menyambung semula operasi penerbangan.
Sebelum ini, penutupan lapangan terbang berulang kali dilanjutkan.

Kini syarikat penerbangan berdepan tugas besar untuk membawa semua penumpang yang terkandas menaiki pesawat dan menghantar mereka ke destinasi masing-masing selepas kekecohan yang berlaku di lapangan terbang selama beberapa hari.
Empat lagi lapangan terbang yang disenaraikan untuk dibuka semula termasuk Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma, lapangan terbang lebih kecil di kawasan Jakarta yang mengendalikan penerbangan awam dan ketenteraan, serta Lapangan Terbang Hussein Sastranegara di Bandung, ibu negeri Jawa Barat, kata kementerian itu.
Sebuah lagi lapangan terbang kecil di selatan Sumatera menyambung semula operasi pada pagi Isnin. Ini bermakna dua daripada lapan lapangan terbang asal masih ditutup.
Lebih 240 penerbangan domestik dan antarabangsa dibatalkan atau ditangguhkan akibat abu gunung berapi pada pagi Isnin sahaja, kata Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, sambil menambah hampir 30,000 penumpang terjejas.
Kementerian Pengangkutan sebelum ini menyediakan enam lapangan terbang alternatif sebagai pilihan bagi pesawat yang asalnya dijadualkan mendarat di Jakarta.
Anak Krakatau terletak di selat yang memisahkan Pulau Jawa dan Sumatera.
Gunung berapi itu aktif secara berkala sejak muncul dari laut pada awal abad lalu di dalam kaldera yang terbentuk susulan letusan Gunung Krakatau pada 1883.
Tsunami pada 2018 yang berpunca daripada runtuhan sebahagian kawasan Gunung Anak Krakatau mengorbankan 429 orang dan menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






