Oleh: Wartawan IMedikel TV
PENANG: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang melaksanakan kerja-kerja pemasangan 62 unit beg pasir berhadapan Hotel Lone Pine bagi mengawal hakisan pantai di Batu Feringghi menjadi semakin serius.
EXCO Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari, berkata kerja-kerja pemasangan itu telah dilaksanakan pada 8 Julai lalu dan dijangka siap 10 Ogos depan.
Katanya, JPS negeri memasang beg pasir sebagai langkah mitigasi jangka sederhana sebelum menunggu pelaksanaan projek perlindungan pantai jangka panjang yang telah diluluskan.
“Ia bertujuan bagi mengurangkan impak ombak terhadap garis pantai, mengawal kadar hakisan dan melindungi kawasan yang dikenal pasti mengalami hakisan paling kritikal.
“Berdasarkan, penilaian teknikal JPS, keberkesanan kaedah itu bergantung kepada keadaan cuaca, ombak, pasang surut air laut serta kejadian cuaca ekstrem.
“Tempoh berkenaan dijangka menjadi penyelesaian sementara sehingga projek perlindungan hakisan pantai jangka panjang yang sudah diluluskan mula dilaksana kelak,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jelas Zairil Khir, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi melaksanakan kerja mitigasi berkenaan meliputi kerja pembersihan tapak, pemotongan pokok tumbang dan pemasangan ‘beach container’ (bekas pantai) di kawasan hakisan paling kritikal.
“Sebanyak 62 beg pasir akan dipasang secara lima lapisan dengan ketinggian kira-kira lima meter, meliputi kawasan sepanjang 44 meter di hadapan Pantai Batu Ferringhi yang mengalami hakisan paling serius.
“Kerajaan negeri dan JPS memberi jaminan pelaksanaan kerja mitigasi itu dirancang dengan mengambil kira aspek keselamatan pengunjung, kelangsungan aktiviti pelancongan dan kelestarian alam sekitar.
“JPS akan terus memantau pelaksanaan kerja bagi memastikan impak terhadap aktiviti pelancongan dan alam sekitar berada pada tahap minimum,” katanya
Dalam pada itu, Zairil Khir berkata, projek mitigasi itu sebelum ini berdepan beberapa cabaran termasuk keadaan pasang surut air laut yang mengehadkan tempoh kerja harian, keadaan ombak dan cuaca yang tidak menentu serta kekangan laluan keluar masuk jentera berat ke kawasan pantai.
Beliau berkata, kelewatan pelaksanaan kerja dalam tempoh yang panjang boleh menyebabkan hakisan menjadi lebih serius dan merebak ke daratan sehingga menjejaskan struktur kekal, kemudahan awam serta infrastruktur berhampiran pantai.
Batu Feringghi destinasi pelancongan terkenal di Pulau Pinang terus menarik pelancong dari dalam dan luar negara, dengan keindahan pantai serta pemandangan semulajadi yang memukau.
Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pantai berkenaan dilanda masalah hakisan yang semakin membimbangkan sekali gus memberi kesan buruk kepada keindahan kawasan itu.
Lebih menyedihkan apabila beg-beg pasir digunakan sebagai benteng pemecah ombak kini berselerak di sepanjang pesisir pantai.
IMedikel TV






