Home Buletin Semasa PEMANDU TRELER MAUT SELEPAS TERBABAS DI JALAN GUA MUSANG-KUALA KRAI

PEMANDU TRELER MAUT SELEPAS TERBABAS DI JALAN GUA MUSANG-KUALA KRAI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

GUA MUSANG: Seorang lelaki maut selepas treler dipandunya terbabas di Kilometer 57, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini, malam Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan itu daripada anggota Balai Polis Paloh kira-kira jam 10 pagi, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 8 malam, Ahad lalu, ketika mangsa yang memandu treler jenis Volvo dalam perjalanan dari Kuala Krai menuju ke Port Klang, Selangor.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa berusia 45 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabit terbabas ke cerun bahu kanan jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di bahagian pemandu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-912 1222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here