Home Buletin Semasa 2,326 PELAJAR ANAK PAHANG CEMERLANG PEPERIKSAAN TERIMA INSENTIF RM2.42 JUTA

2,326 PELAJAR ANAK PAHANG CEMERLANG PEPERIKSAAN TERIMA INSENTIF RM2.42 JUTA

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengagihkan insentif kecemerlangan tiga peperiksaan utama berjumlah RM2.426 juta kepada seramai 2,326 pelajar anak Pahang.

Mereka mencatat keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025. Imbuhan kewangan turut diberikan kepada sekolah cemerlang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kerajaan negeri akan terus menjadikan pendidikan sebagai keutamaan melalui pelbagai inisiatif di bawah Inisiatif Makmur Pahang (IMP), Yayasan Pahang dan Transformasi Pendidikan Pahang (TPP) bagi memastikan setiap anak Pahang mempunyai peluang untuk berjaya selaras dengan Aspirasi Pahang 1st.

Menurutnya, pelajar anak Pahang perlu ingat bahawa kejayaan hari ini bukan noktah pada mereka sebaliknya menjadi titik permulaan kepada perjalanan yang lebih jauh dan berliku.

Katanya, mereka perlu kuasai ilmu, bina kemahiran, manfaatkan teknologi dan berani memasang cita-cita yang tinggi. Golongan terbabit bukan sekadar mengikuti perubahan semasa tetapi menjadi generasi yang memimpin perubahan.

“Mereka perlu berani melangkah sejauh mana yang mampu dan capailah kejayaan sebesar yang diimpikan. Pada masa sama jangan lupa pada ibu bapa, guru-guru dan negeri yang menjadi tempat bermulanya perjalanan.

“Tahniah dan syabas pada mereka yang mencatat keputusan cemerlang peperiksaan SPM, STPM dan STAM 2025, teruskan melangkah dengan membawa mimpi besar sambil berusaha gigih,” katanya.

Beliau berkata demikian Majlis Penyampaian Insentif Kecemerlangan SPM, STAM dan STPM 2025 pelajar Pahang di Dewan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang, di sini kelmarin.

Wan Rosdy berkata, setiap tahun kerajaan negeri menyediakan peruntukan besar dalam usaha memastikan pendidikan di negeri ini terus berada pada landasan sebenar, pelbagai peluang diberikan kepada golongan pelajar.

Katanya, selain bantuan awal pendidikan diperingkat sekolah rendah dan menengah, turut disediakan kepada yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading dalam dan luar negara.

“Kita ingin melihat semua anak Pahang yang layak melanjutkan pengajian ke peringkat universiti tempatan dan luar negara melangkah masuk berbekalkan bantuan kewangan yang disediakan kerajaan negeri,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here