Oleh: Nur Athirah Azman, Wartawan Imedikel TV.
KOTA BHARU: Kekurangan bukan penghalang bagi mereka yang ingin berjaya sekaligus menggapai impian untuk menamatkan pengajian.
Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts. Zainab Othman, berkata pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) mempunyai potensi untuki berjaya seperti mana pelajar normal lain.
“Jangan pandang kekurangan mereka sebaliknya kekurangan itulah kelebihan mereka. Mereka mempunyai kelebihan tersendiri dalam mencapai apa yang mereka hajati,”katanya.
Beliau berkata, lebih 200 pelajar berkeperluan khas di kedua-dua institusi itu telah berjaya menonjolkan bakat terpendam dan menunjukkan prestasi yang membanggakan dalam bidang akademik serta kokurikulum.

“Pelajar berkeperluan khas bukan sahaja terhad kepada pekak, bisu dan buta malah kekurangan dari segi fizikal termasuk kerdil dan tangan pendek sebelah. Pengambilan mereka adalah untuk kita mencari kelebihan dalam bidang kelayakan mereka dan daftarkan mereka ke dalam program-program yang bersesuaian.
“Ada juga di kalangan mereka yang dihantar ke pertandingan sukan di luar negara dan sehingga kini mereka memang menunjukkan prestasi membanggakan di peringkat institusi, negara dan antarabangsa.,”katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Kota Bharu ke-36, di sini, baru-baru ini.
Zainab berkata, pihak politeknik mahupun kolej komuniti akan sentiasa mengutamakan potensi dan bakat mereka dan tidak akan mengasingkan mereka daripada pelajar yang normal.
Menurutnya, berkemungkinan pihaknya akan menambah kemasukan bilangan pelajar berkenaan dari masa ke semasa supaya mereka tidak ketinggalan untuk menyambung pengajian di kedua-dua institusi berkenaan.
Imedikel TV






