Home Buletin Semasa PASANGAN KEKASIH DALANG 21 KES PECAH CERMIN KERETA DITAHAN

PASANGAN KEKASIH DALANG 21 KES PECAH CERMIN KERETA DITAHAN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Pasangan kekasih yang dipercayai dalang kes pecah cermin kereta di sekitar kawasan ini akhirnya diberkas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata seorang lelaki berumur 47 tahun bersama pasangannya yang berumur 36 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.15 petang selepas sepasukan polis melakukan serbuan di hadapan sebuah kedai di Jalan Sri Cemerlang, di sini, pada Sabtu lalu.

“Susulan daripada penangkapan tersebut, pihak kami berjaya menyelesaikan sebanyak 21 kes pecah cermin kereta membabitkan kerugian lebih RM100,000. Pasangan ini dipercayai aktif dalam aktiviti ini lebih kurang setahun.

“Polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah komputer riba, lima telefon bimbit, wang tunai, sebuah kereta dan pelbagai peralatan yang digunakan bagi jenayah terbabit,”katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Menurutnya modus operandi pasangan terbabit adalah mensasarkan kawasan tempat letak kereta yang tiada kamera litar tertutup (CCTV).

Jelasnya, pasangan terbabit turut mengaku melatih pelapis untuk melakukan jenayah tersebut.

“Mereka turut mengaku melatih pelapis baru untuk aktiviti pecah kereta.

“Manakala ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine,”katanya.

Beliau berkata semakan rekod lampau menunjukkan suspek lelaki mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan narkotik dan jenayah, manakala suspek wanita tidak mempunyai rekod jenayah.

Katanya kedua-dua suspek kini ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here