DOHA: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengakui sukar untuk menerima kekalahan tipis 0-1 kepada Bahrain dalam aksi Piala Asia 2023 di Stadium Jassim bin Hamad, malam ini.
Memetik laporan menerusi berita harian,Pengendali dari Korea Selatan itu sekali lagi memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia apabila jaringan Ali Madan pada masa kecederaan memberikan kekalahan kedua berturut-turut skuad negara dalam Kumpulan E.
“Ramai penyokong yang datang menyokong kami dan rakyat Malaysia berikan sokongan yang hebat. Sekali lagi saya sebagai jurulatih memohon maaf.
“Saya menghargai usaha yang dilakukan pemain dan perlawanan malam ini menunjukkan di mana kami berada sekarang. Sebagai jurulatih, sangat sukar untuk menerima keputusan ini,” katanya.
Kekalahan kepada Bahrain menyaksikan peluang untuk Harimau Malaya melangkah ke pusingan 16 terakhir sudah tertutup rapat susulan keputusan seri 2-2 yang dicatat Korea Selatan dan Jordan, petang tadi.
Skuad negara seterusnya akan melengkapkan saingan peringkat Kumpulan E menentang Korea Selatan di Stadium Al Janoub, Khamis ini.
Sementara itu, ketua jurulatih Bahrain, Juan Antonio Pizzi ternyata lega apabila pasukannya berjaya mendapat gol pada minit akhir untuk meraih tiga mata penting dan meneruskan perjuangan merebut tiket ke pusingan kalah mati.
“Sudah pasti perlawanan ini sukar buat kami. Kami mempunyai banyak peluang dan hanya mendapat gol pada saat akhir, namun kami sepatutnya mendapat gol lebih awal,” katanya.-BH Online-
Imedikel TV






