Nilai, NEGERI SEMBILAN: Pandangan panel pakar akan diperoleh terlebih dulu berkaitan waris perlu membayar tunggakan cukai ditinggalkan si mati sebelum dibincangkan secara terperinci oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata jawatankuasa pakar berkenaan akan memperhalusi perkara berkenaan sebelum ia diangkat ke peringkat MKI.
“Saya dah bagi arahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Datuk Dr Noh Gadut dan Ketua Pengarah JAKIM dan beliau (Noh Gadut) berjanji akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara ini.
“Sebelum perkara ini dibawa kepada Jawatankuasa Muzakarah MKI, ia perlu mendapatkan pandangan daripada pakar terlebih dulu.
“Selepas itu, isu ini perlu dibawa ke peringkat subjawatankuasa pakar dan jawatankuasa ini akan membincangkan dan memperhalusi, sebelum dibawa kertas tersebut ke Jawatankuasa Muzakarah MKI,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Karnival Mega Fatwa dan Halal Peringkat Kebangsaan 2023 dan Pelancaran Sahabat Halal IPT di Auditorium Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor USIM, Prof Dr Adnan Mohamed Yusoff dan Pengarah Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) USIM, Prof Dr Azman Ab Rahman.
Mohd Na’im berkata, isu berkenaan perlu diteliti secara terperinci bagi mengelak kekeliruan masyarakat.
Beliau berkata, kronologi isu berkenaan jelas terdapat perbezaan pandangan daripada tokoh agama tempatan.
“Mufti Pahang ada berbeza pandangan dengan Mufti Pulau Pinang, jadi kita harapkan dengan perbincangan pakar-pakar berpengalaman dan mufti-mufti semua negeri, di bawah jawatankuasa muzakarah tersebut, satu ketetapan akan dapat diambil.
“Bila mana ketetapan itu dapat dibuat, ia akan memudahkan masyarakat Islam memahami isu ini dengan lebih jelas, apabila diperincikan dan diputuskan oleh agensi yang berautoriti,” katanya.
Sumber BH Online
Imedikel TV






