LIVERPOOL: Liverpool dijangka menyempurnakan perpindahan Joel Ordonez dari Club Brugge dengan nilai sehingga 43 juta pound (RM235 juta) dalam beberapa hari lagi, selepas Chelsea menarik diri daripada perebutan bek tengah itu.
Memetik laporan Agensi menerusi Berita Harian, pemain antarabangsa Ecuador berusia 21 tahun itu akan menyertai Reds dengan bayaran asas sekitar 35 juta pound (RM191.3 juta), manakala tambah nilai dan bonus berpotensi menaikkan jumlah akhir perpindahan.
Ordonez membantu Brugge menjuarai Liga Belgium musim 2023-24 dan kini sedang beraksi di Liga Juara-Juara Eropah buat musim kedua berturut-turut.
Ordonez bukan sebahagian daripada keluarga Deinner Ordonez, 16, yang dijangka menyertai Chelsea apabila genap 18 tahun, tetapi kedua-duanya berasal dari akademi Independiente del Valle, kelab paling besar di Ecuador yang pernah melahirkan bintang seperti Moises Caicedo.
Perpindahan Ordonez akan menambah kualiti segera kepada benteng Liverpool, terutama selepas kegagalan beberapa perpindahan pertahanan musim panas lalu.
Marc Guehi dari Crystal Palace gagal ditandatangani pada hari akhir jendela perpindahan, manakala pemain remaja Geovanni Leoni yang ditandatangani dari Parma bernilai sehingga 26 juta pound (RM142. 1 juta) mengalami kecederaan ACL serius pada penampilan sulungnya.
Ordonez dijangka memberi alternatif berkualiti tinggi di posisi pertahanan tengah, terutama jika Liverpool gagal mencapai persetujuan kontrak baru dengan Ibrahima Konate, yang bebas untuk berbincang dengan kelab luar bermula hari ini.
Liverpool akan kembali beraksi awal pagi esok menentang Leeds United di Anfield. – AGENSI, BH Online –
IMedikel TV






