Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan trend mendulang emas di sungai ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) kerana aktiviti itu sangat berisiko.
Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Datuk Rohani Ibrahim, berkata walaupun video-video yang tular di media sosial dilihat seperti mudah, namun ia memerlukan kemahiran serta ketahanan fizikal yang kuat.

“Kerja itu memang boleh menambah pendapatan untuk keluarga, tetapi ia juga tidak mudah seperti video pendek yang tular itu.
“Bagi wanita terutamanya yang sudah bekerja, mereka perlu fikir masak-masak dahulu sebelum meninggalkan pekerjaan tetap semata-mata untuk pergi mendulang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Khas Taska Swasta 2025 di Kota DarulNaim, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, aktiviti itu bukan sekadar memerlukan kesabaran yang tinggi dan duduk di tepi sungai beberapa jam, namun berisiko menghadap arus deras, runtuhan tebing dan kemungkinan terperangkap di kawasan terpencil.
IMedikel TV






