Home Buletin Semasa OPS SERKAP: DALANG WARGA MYANMAR TUMPAS, 27 WARGA ASING DITAHAN

OPS SERKAP: DALANG WARGA MYANMAR TUMPAS, 27 WARGA ASING DITAHAN

180
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seorang lelaki warga Myanmar dipercayai dalang utama sindiket penyeludupan migran secara haram melalui jalan laut ditahan dalam Ops Serkap yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan di Wakaf Che Yeh, di sini, pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman, berkata suspek berusia 31 tahun itu diberkas bersama 26 lagi warga asing dalam operasi hasil risikan Bahagian Penguatkuasa JIM Kelantan kira-kira jam 7.05 pagi.

Menurutnya, operasi di kawasan letak kereta belakang sebuah hotel di Jalan Kuala Krai itu turut menggagalkan cubaan membawa keluar masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan beberapa kenderaan mewah.

“Seramai 11 pegawai imigresen digerakkan ke lokasi di kawasan letak kereta belakang sebuah hotel di Jalan Kuala Krai, Mukim Padang Enggang, sebelum berjaya mengesan beberapa kenderaan mewah yang dipercayai digunakan untuk mengangkut PATI di negeri ini.

“Pasukan operasi membuat serbuan serta sekatan di laluan masuk dan keluar kawasan berkenaan selepas mengesan pergerakan PATI memasuki beberapa kenderaan yang diparkir.

“Dalam keadaan gelap, beberapa individu termasuk pemandu kenderaan cuba melarikan diri dan bertindak agresif, namun berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya hasil operasi itu, seramai 20 warga Myanmar terdiri daripada 12 wanita dan lapan lelaki berusia antara 17 hingga 40 tahun ditahan di sekitar lokasi.

“Kesemua mereka mengaku baru memasuki negara ini secara haram melalui jalan laut,”katanya.

Beliau berkata dengan kerjasama pihak hotel, pemeriksaan lanjut dijalankan dan lima lagi lelaki warga Myanmar berusia 25 hingga 36 tahun ditahan di dalam sebuah bilik.

“Siasatan awal mendapati mereka dipercayai sedang menunggu ejen untuk membawa mereka menyeberangi sempadan pulang ke negara asal.

“Selain itu, dua lelaki warga China berusia 32 tahun turut ditahan selepas ditemui bersembunyi di bumbung hotel,”katanya.

Katanya dalam operasi berkenaan, empat kenderaan turut disita untuk siasatan lanjut.

“Empat kenderaan tersebut adalah sebuah Proton X90 bersama enam PATI perempuan, Honda HR-V, Nissan Serena dan Perodua Aruz ditahan untuk siasatan,”katanya.

Beliau berkata kesemua 27 PATI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala lelaki warga Myanmar yang dipercayai dalang utama disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 untuk siasatan lanjut.

Nik Akhtarulhaq berkata, kejayaan itu memberi isyarat jelas bahawa JIM Kelantan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak terutamanya rakyat tempatan yang cuba mengaut keuntungan mudah dengan melindungi atau menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap pihak yang mendalangi atau bersubahat,” katanya.

Kesemua tahanan dan kenderaan yang dirampas dibawa ke Pejabat Imigresen Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here