Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
TUMPAT: Lebih 100,000 ekor ayam pedaging diternak di Kampung Padang Mandol, Wakaf Bharu, di sini, sekali gus mencerminkan keupayaan industri penternakan ayam pedaging Kelantan yang semakin berkembang dan berdaya saing.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pusat ternakan tersebut menjadi sumber bekalan kepada rangkaian restoren tempatan, Saba Fried Chicken.
“Lawatan ini memberi gambaran jelas tentang usaha berterusan dalam memperkukuh pengembangan industri penternakan ayam pedaging negeri, termasuk peningkatan kapasiti pengeluaran, penggunaan teknologi ternakan moden serta pemantauan biosekuriti bagi menjamin kualiti dan keselamatan bekalan makanan.
“Melalui perancangan rapi dan kerjasama semua pihak, kita bersedia memastikan bekalan ayam kekal mencukupi dan stabil menjelang musim perayaan, demi kesejahteraan rakyat sekali gus membantu menstabilkan harga di pasaran,” katanya .
Katanya pusat ternakan tersebut beroperasi dalam blok ternakan tiga tingkat yang direka bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran secara lebih sistematik dan efisien, selaras dengan keperluan pasaran semasa.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan ke pusat ternakan ayam pedaging milik Saba baru-baru ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah.
IMedikel TV





