Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan pengauditan terhadap syarikat pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) dan Kenderaan Perdagangan Barangan (KPB) menerusi penguatkuasaan Op Khas ‘JPJ Inspection and Safety Audit’ (JISA).
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata pihaknya menyasarkan 500 syarikat pengendali kenderaan perdagangan dalam tempoh sebulan bermula 23 Jun lalu.
“Daripada jumlah tersebut pihak kami mendapati sebanyak 64 peratus daripada 133 syarikat pengendali kenderaan perdagangan yang diaudit gagal mematuhi peraturan mandatori di bawah JISA.
“Perincian Ops Khas JISA untuk syarikat pengendali lori mendapati sebanyak 43 gagal, manakala bagi syarikat pengendali bas ekpress dan persiaran, sebanyak 42 gagal.
“Ini bermakna dalam 133 syarikat yang kita audit dalam tempoh empat hari itu sebanyak 85 syarikat gagal dalam audit JISA yang kami laksanakan,”katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Setia JPJ Malaysia, di sini, pada Ahad.
Jelasnya, berdasarkan operasi tersebut terdapat beberapa perkara mandotari JISA yang gagal dipatuhi syarikat terbabit.
“Antara perkara mandatori yang gagal dipatuhi syarikat berkenaan adalah tidak melantik pegawai, penyelaras keselamatan dan kesihatan pekerjaan , Sistem Pengesanan Global (GPS) tidak dipasang pada semua kenderaan selain pemantauan GPS tidak dibuat syarikat terbabit.
“Selain itu syarat pemanduan tidak melebihi 8 jam dalam sehari tidak direkodkan, syarat rehat pemandu 30 minit bagi setiap empat jam pemanduan tidak direkod serta tidak menyediakan pelan tindakan keselamatan dan tidak menyediakan nombor aduan (hotline) serta nama pegawai syarikat pada kenderaan bagi tujuan aduan,”katanya.
Katanya, bagi 85 syarikat berkenaan yang gagal menerusi pengauditan tersebut, pihaknya akan mencadangkan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) supaya menggantung atau membatalkan lesen syarikat berkenaan.
Tambahnya, pihaknya akan menjalani audit menerusi Ops Khas JISA kepada 500 syarikat terbabit anpa memaklumkan terlebih dahulu kepada syarikat tersebut.
“Kita akan terjah dan jalankan secara mengejut ke atas syarikat pengendali berkenaan.
“Syarikat-syarikat ini pun tidak tahu bila kita akan lakukan terjahan tersebut.
“Saya juga ingin memberi amaran kepada semua pengendali syarikat agar mematuhi peraturan. Pihak kami kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang didapati melanggar peraturan yang sudah ditetapkan,”katanya.
IMedikel TV






