Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengambil tindakan dengan memantau secara bersama bagi memastikan tiada perlombongan haram unsur nadir bumi (REE) di seluruh negara.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya akan memantau bersama dengan kerajaan negeri kerana mineral adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kita juga turut mengambil tindakan apabila ada perlombongan haram dan sebagainya bagi memastikan dasar yang telah ditetapkan akan dipatuhi.
“Mengikut dasar yang sedia ada hari ini, perlombongan dibolehkan tetapi pemprosesan perlu dibuat di dalam negara dan itu dasar yang telah ditetapkan, kita sudah berbincang dengan kerajaan negeri dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media, di Kampung Penambang di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, pemantauan yang dibuat bergantung kepada lokasi sekiranya di tanah hutan, ia dijalankan oleh Jabatan Perhutanan negeri manakala untuk tanah milik swasta akan ada mekanisme yang khusus.
Media sebelum ini melaporkan, lebih 1.2 juta hektar kawasan atau 12,150kilometer persegi (km2) yang berpotensi memiliki unsur nadir bumi (REE) di seluruh negara terdedah dengan perlombongan haram.
Terdahulu Nik Nazmi hadir dalam majlis penyampaian ‘mock title’ bagi Skim Desa Maju Apartment kepada 40 pemilik kediaman, di sini, pada Khamis.
IMedikel TV






